Keindahan alam semula jadi tarikan di Geotapak Eko Rimba Bukit Ayer

Bernama
Januari 1, 2024 07:00 MYT
Destinasi itu juga memiliki daya tarikan tersendiri antaranya rimba herba Perlis dan kolam untuk pengunjung mandi-manda. - Foto BERNAMA
KANGAR: Geotapak Eko Rimba Bukit Ayer di sini menjadi destinasi terbaik bagi aktiviti riadah bersama keluarga sambil menikmati suasana tenang dengan keindahan alam semula jadi untuk penduduk tempatan mahupun pengunjung yang bercuti ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Terletak di Sungai Batu Pahat iaitu kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Kangar, destinasi itu juga memiliki daya tarikan tersendiri antaranya rimba herba Perlis dan kolam untuk pengunjung mandi-manda, selain aktiviti lasak seperti All Terrain Vehicle (ATV) serta merentas hutan.
Tinjauan Bernama di Geotapak Eko Rimba sempena bermulanya Tahun Melawat Perlis hari ini mendapati orang ramai mengambil kesempatan membawa keluarga untuk mandi-manda secara percuma di kolam semula jadi, manakala bayaran RM5 bagi dewasa dan serta RM3 bagi kanak-kanak enam tahun ke atas dikenakan untuk kolam buatan.
Pengunjung, Toyibah Abdullah, 30, dari Kluang, Johor, berkata dia bersama keluarga bercuti ke Perlis sejak seminggu lepas dan pertama kali datang ke Geotapak Eko Rimba.
"Bagi saya alam semula jadi di sini sangat menarik tidak sama seperti tempat lain, ia juga dilengkapi kemudahan seperti surau, tandas dan bilik mandi selain terdapat peniaga makanan yang harga jualan mereka amat berpatutan," katanya kepada Bernama.
Bagi penduduk tempatan, Sharina Mat, 52, dari Kangar berkata kawasan Geotapak Eko Rimba itu kini lebih baik berbanding dahulu dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas dan mesra pengguna.
"Saya sering datang ke sini bersama keluarga sejak 1982, dan banyak perubahan berbanding dulu terutama dari segi kemudahan asas yang lebih baik untuk orang ramai meluangkan masa dan beriadah dalam keadaan selesa," katanya.
Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Perlis Selatan Mohd Zohdi Shihabuddin berkata aktiviti menarik lain bakal ditawarkan kepada pengunjung di Geotapak Eko Rimba ialah kemudahan 'glamping' bemula pertengahan Januari ini.
Mengenai kolam buatan pula, beliau berkata pihak Jabatan Perhutanan Perlis mengambil inisiatif membina kolam itu yang dilancarkan pada awal 2022 untuk merancakkan lagi aktviti riadah orang ramai.
"Dulu hanya ada kolam semula jadi yang airnya berpunca dari Bukit Ayer, tetapi disebabkan ada waktu tertentu air dari bukit tidak ada, jadi kami mengambil langkah membina kolam yang dikhaskan untuk orang dewasa dan kanak-kanak untuk mandi-manda," katanya.
-- BERNAMA
#alam semula jadi #eko pelancongan #eko rimba bukit ayer #riadah
;