Kehilangan Zalina: Polis belum temui petunjuk baharu - Arjunaidi
Hilmi Malik
September 5, 2022 15:31 MYT
September 5, 2022 15:31 MYT
SEMENYIH : Polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangan personaliti TV3, Zalina Azman, 58 yang hilang sejak November tahun lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan perkara itu apabila ditanya mengenai status kehilangan Zalina pada Isnin.
“Belum ada petunjuk baharu,” jawabnya ringkas sewaktu menghadiri sidang media berhubung sindiket penyeludupan diesel di Semenyih.
Kisah Zalina, atau nama penuh Zalina Shaharah Azman, mula mendapat perhatian umum apabila berita kehilangannya mula disiarkan media mulai 18 Julai lalu.
Bekas pembaca berita sebuah syarikat TV swasta itu mula dilaporkan hilang apabila anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, cuba menghubunginya sejak 24 November 2021, bagaimanapun panggilan itu gagal dijawab.
Sementara itu, polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 29 November lalu berikutan kegagalannya untuk menghubungi ibunya.
Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyiarkan gambar Zalina dan maklumat berkaitan iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.
Sebelum ini, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam turut menyiarkan berhubung kes Zalina bagi mendapatkan bantuan awam selain berkongsi sebarang maklumat.