Kehilangan warga Britain sudah dimaklum kepada pihak kedutaan - Polis

Bernama
Jun 1, 2014 16:44 MYT
HILANG: 30 orang pasukan penyelamat sedang giat mencari Gareth David Huntley.
Polis Pahang telah memaklumkan kepada pihak kedutaan British di negara ini tentang kehilangan seorang warganya di Pulau Tioman pada 27 Mei lalu, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Ab Ghani.
Sehubungan itu beliau menolak anggapan bahawa pihaknya tidak memaklumkan perkara itu kepada keluarga mangsa dan tidak serius dalam usaha mencarinya.
Kini lebih 30 orang pasukan penyelamat yang diketuai Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya, yang terdiri daripada anggota polis, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, Jabatan Hutan dan penduduk tempatan sedang giat mencari mangsa, katanya.
Anggota sukarelawan itu Gareth David Huntley, 34, didapati hilang apabila pergi bersendirian ke
kawasan air terjun Lubuk Teja di pulau itu.
Mangsa menetap di chalet Projek Penyu Juara di Kampung Juara di pulau itu. Sharifuddin berkata mangsa didapati membawa semua dokumennya semasa ke kawasan air terjun itu.
Beliau juga melahirkan rasa hairan kenapa pemilik chalet berkenaan tidak mendaftar nama mangsa
semasa dia mendaftar masuk dan menginap.
#Gareth David Huntley #hilang
;