Kehilangan Orang Asli SK Tohoi: Jangan salahkan sesiapa, kata Mustapa

Muhafandi Muhamad
Oktober 10, 2015 16:07 MYT
Miksudiari Aluj (kiri) dan Norieen Yaakob telah ditemui selamat pada Jumaat. - fotoBERNAMA
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad meminta semua pihak tidak menuding jari mencari kesalahan berhubung insiden kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Pos Tohoi.
Jelas Mustapa, semua pihak sebaliknya perlu bekerjasama membantu kerana siasatan dan pencarian kanak-kanak berkenaan sedang giat dijalankan pihak penyelamat.
Beliau pada masa sama bersyukur, dua murid ditemui masih hidup dan mencadangkan satu kajian dan siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan dijalankan.
"Harus ada satu kajian, yang pertama, kenapa ini berlaku? Kedua, kenapa pencarian mengambil masa selama dua bulan? Ini tempoh yang sangat lama, tak pernah ada rekod pencarian sepanjang ini.
"Pada peringkat ini, kita tak boleh menyalahkan sesiapa (kerana) kita dengar macam-macam andaian. Siasatan rapi penting supaya kita tahu apa puncanya. Yang penting, kita tak mahu perkara in berulang," ujarnya selepas perasmian Hari Sukan Negara peringkat negeri Kelantan di sini siang tadi.
BACA: Kronologi: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi, Gua Musang
Mustapa, yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, mengulas luahan dan kemarahan khususnya masyarakat Orang Asli terutama ibu bapa pelajar asli terlibat yang menyalahkan pihak sekolah dan pasukan mencari di atas insiden yang berlaku hingga menyebabkan mereka lambat ditemui.
Tujuh murid SK Pos Tohoi itu hilang sejak 23 Ogos lepas, selepas mereka melarikan diri dari asrama, kerana bimbang dimarah kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.
Dua daripada mereka, Norieen Yaakob, 10 tahun, dan Miksudiari Aluj, 11 tahun, ditemui selamat pada Jumaat.
Turut ditemui sejak beberapa hari lalu satu rangka yang belum disahkan indentiti dan dua mayat, masing-masing dikenali sebagai Sasa Sobrie, 8 tahun, dan Ika Ayel, 9 tahun.
Operasi mencari dan mengesan dua lagi pelajar yang hilang itu masih diteruskan yang kini sudah memasuki hari ke-49.
#hilang #Mustapa Mohamed #Orang Ali #SK Pos Tohoi
;