"Kehilangan Nik Aziz ibarat terpadamnya satu kerdipan bintang" - Anwar Ibrahim
Haider Yutim
Februari 13, 2015 18:59 MYT
Februari 13, 2015 18:59 MYT
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat umpama terpadamnya satu kerdipan bintang.
Dalam satu kenyataan yang ditulis dari Penjara Sg Buloh, beliau turut meluahkan rasa sedih dengan pemergian tersebut serta terharu dengan keperihatinan Nik Abdul Aziz kepada diri dan keluarganya selama ini.
"Kehilangan beliau ibarat terpadamnya satu 'kerdipan/kerlipan' bintang kerana dia seorang tokoh alim negara.
"Kebangkitan rakyat diperlukan demi masa depan Malaysia yang terjamin daripada kezaliman, insyaAllah. Jangan titiskan air mata, terus berjuang," katanya.
Allahyarham Nik Abdul Aziz, 84 tahun, meninggal dunia pada jam 9.40 malam tadi di sisi anggota keluarga di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan.
Sebelum itu, anak Allahyarham, Nik Mohamad Abduh dalam satu kenyataan pada petang semalam telah memaklumkan bahawa tahap kesihatan ayahnya menurun selepas menjalani rawatan pada ulsernya pada Rabu dan doktor ketika itu sedang berusaha untuk menstabilkan keadaannya.
Allahyarham telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan hari ini.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disempurnakan di Masjid Pulau Melaka pada jam 10 pagi dan dianggarkan hampir 30,000 orang hadir di Masjid tersebut untuk bersama-sama membuat solat jenazah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara yang paling awal hadir ke pengebumian tersebut.