Kehidupan tukang urut OKU kian 'kelam'

Dewi Nur Harasha Alias
November 21, 2020 15:07 MYT
Ada diantara tukang urut buta ini terpaksa menunggu seharian untuk mendapat seorang pelanggan. - Foto Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Kekurangan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan tukang urut sejak pandemik COVID-19 melanda negara menyebabkan kehidupan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan di Pulau Pinang bertambah sukar.
Malah ada di antara mereka terpaksa menunggu seharian untuk mendapat seorang pelanggan.
Hazemee Ab Hamid, 48, antara tujuh tukang urut OKU cacat penglihatan di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengakui terjejas selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Namun dia sedikit lega apabila menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk meneruskan kehidupan kerana tidak lagi boleh mengharapkan pendapatan sebagai tukang urut.
'Memang amat teruklah kalau tidak ada pelanggan. Tidak ada duit tidak ada lagi gaji kami sejak 18 haribulan Mac hari tu, bulan Mac sampai bulan Julai lepas tu buka kejap pun masih tidak ada pelanggan juga takut-takut lagi pelanggan hendak datang lepas itu kena pulak PKPB sekali lagi, ini lagi teruk.
"Sewa hendak kena bayar, bil elektrik semua hendak kena bayar, air pun kena bayar, jadi tertunggak-tunggak. Sewa RM800 (sebulan) api, air sekali anggaran RM1,200, RM1,300," kata Hazemee ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Namun Hazemee mengakui dia runsing kerana perlu mencari pendapatan bagi menyara isteri serta tiga anak berusia antara sembilan hingga 19 tahun yang masih belajar.
Nasib sama dialami Abu Hassan Mahmud, 41, yang sebelum ini menyediakan perkhidmatan refleksologi di Padang Kota Lama, Pulau Pinang tetapi kini kehilangan sumber pendapatan.
"Kami memang sudah tidak boleh hendak buat kerja apa. Memang terjejas teruk dari segi pendapatan kalau boleh saya merayu pada pihak Kerajaan dan pemain-pemain politik dekat Malaysia ini supaya lihat apa golongan-golongan macam kami ini.
"Kalau macam pemain-pemain politik selalu bercakap perniagaan digital, apa semua itu memang OKU tidak akan boleh terlibat yang berniaga macam kami ini memang tidak boleh buat promosi, kalau kami buat promosi di internet pun (tiada) siapa hendak datang berurut," kata Abu Hassan.
Sehubungan itu, dia merayu kerajaan mempertimbangkan elaun khas untuk OKU sementara menunggu wabak COVID-19 reda.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan OKU Penglihatan Prihatin (PKOPP) Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Jusoh, 38, memberitahu beliau turut bersimpati dengan nasib tukang urut buta kerana tidak semua mendapat elaun pekerja cacat sebanyak RM400 sebulan.
"Pendapatan mereka dalam masa PKP ini memang agak terjejas la memang kurang pelanggan. Memang kurang. Harap bergantung pada elaun pekerja cacat. Tambahan pula syarat untuk dapatkan elaun pekerja cacat ini pendapatan mesti RM1,200 ke bawah. Pendapatan (mereka) RM1,500 dahulu betul, mereka dapat RM1,500-RM2,000 tetapi apabila terjejas macam ini mereka tidak dapat juga elaun kebajikan, " katanya.
Susulan itu, Ahmad Tarmizi mencadangkan kerajaan mewujudkan Tabung Khas COVID-19 untuk golongan OKU seperti nya terutama sepanjang PKPB kerana kebanyakan daripada mereka hilang mata pencarian.
#COVID-19 #PKPB #PKP #Orang Kurang Upaya #OKU #masalah penglihatan #PRIHATIN #Tukang urut buta #perintah kawalan pergerakan #sumber pendapatann
;