Kehidupan rakyat hampir seperti biasa, petanda ekonomi negara boleh dirancakkan semula

Hasimi Muhamad
Julai 20, 2020 18:48 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila orang ramai sudah keluar bekerja, beriadah bersama keluarga, selain perniagaan kembali beroperasi semula.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sudah memasuki hari ke-39 sejak ia dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu menyaksikan kehidupan rakyat di negara ini sudah hampir seperti biasa.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila orang ramai sudah keluar bekerja, beriadah bersama keluarga, selain perniagaan kembali beroperasi semula.
Tambah beliau, perkembangan positif itu dilihat sebagai satu petanda baik dalam usaha untuk merancakkan semula ekonomi negara.
Menurut Muhyiddin, sekarang ini kebanyakan rakyat mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman selepas larangan rentas negeri ditarik balik.
“Saya sendiri pun pulang ke Muar bersama keluarga beberapa minggu yang lalu. Sempat jugalah saya sekeluarga menikmati asam pedas Muar yang agak popular itu.
“Sambil itu saya perhatikan ramai pelanggan mengunjungi restoran, pusat-pusat membeli belah, pusat penjaja dan kedai-kedai.
“Keadaan ini amat berbeza sekali berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri PKPP, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau juga dimaklumkan bahawa sektor pelancongan tempatan kini kembali bernafas apabila hotel-hotel dan tempat penginapan di seluruh negara menerima banyak tempahan.
“Ini kita fahamlah kerana hampir tiga bulan berkurung di rumah, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga.
“Lebuh raya utama di negara kita juga kembali sesak dengan kenderaan terutamanya pada hujung minggu,” katanya.
Melihat perkembangan itu, kata Muhyiddin, sektor-sektor ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19 sudah mula rancak dan sekiranya trend itu berterusan, ekonomi negara mampu pulih dengan lebih cepat.
Walau bagaimanapun, Muhyiddin terus mengingatkan, amalan norma baharu yang diterapkan dalam usaha mencegah penularan COVID-19 perlu kekal diteruskan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
BACA: "Saya selalu pesan elak berjabat tangan, tapi sekarang ada yang berpeluk..." - Muhyiddin
#Asam pedas Muar #COVID-19 #Muar #Muhyiddin Yassin #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #sektor pelancongan
;