Kehidupan nelayan kini jauh lebih baik
Bernama
Oktober 3, 2016 08:01 MYT
Oktober 3, 2016 08:01 MYT
Kehidupan nelayan sekarang jauh berbeza, berbanding dahulu yang serba kekurangan dan hanya bergantung kepada hasil laut semata-mata, menurut Husin Muda, 58.
"Dulu kalau tak boleh turun ke laut memang susah... nak makan pun kena pinjam beras daripada jiran sebab duit tak cukup.
"Sekarang sudah berubah, banyak perkara kerajaan tolong, subsidi minyak, bantuan peralatan dapur dan pelbagai bantuan lagi termasuk elaun sara hidup nelayan yang kami terima setiap bulan," katanya.
Penduduk Kampung Tengah Kerteh yang sudah lebih 40 tahun menjadi nelayan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan malam tadi.
Pada majlis yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu, Husin berkata, elaun sara hidup yang diterimanya sebanyak RM300 sebulan membantu meringankan bebannya.
"Sekarang kalau tak boleh turun ke laut, sekurang-kurangnya kami ada duit untuk membeli makanan dan keperluan dapur... semasa tak dapat elaun dulu, memang jiranlah tempat kami bergantung," katanya.
Seorang lagi nelayan, Nik Aziz Embong, 73, dari Kampung Mak Chili, turut berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa membantu golongan nelayan.
"Dulu memang susah. Pakcik ada 11 anak, nak makan memang susah bila tak boleh turun ke laut. Sekarang, Alhamdulillah, banyak yang kerajaan bantu dan elaun yang kami dapat memang sangat membantu sebab boleh digunakan waktu tak turun ke laut dan boleh juga buat simpanan.
"Sekarang, kalau bot kami rosak dipukul ribut atau rumah rosak... kerajaan ada bagi bantuan, kalau dahulu kena baiki sendiri. Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan," katanya yang sudah menjadi nelayan lebih 50 tahun.
Sementara itu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman, berkata kehidupan nelayan dahulu dan sekarang jauh berbeza hasil daripada usaha kerajaan yang sentiasa komited membantu golongan berkenaan.
"Memang dahulu ada antara nelayan terpaksa meminjam beras apabila musim tengkujuh, tetapi sekarang perkara itu boleh dikatakan tidak lagi berlaku apabila kita menyediakan elaun untuk mereka membeli beras dan keperluan lain.
"Kerajaan menyediakan jeti yang lengkap, membuat pembaikan rumah dan memberi peralatan...banyak yang dibuat. Saya tak cakap semuanya sudah sempurna dan tidak ada mereka yang susah...yang susah tetap ada tetapi kita akan terus membantu golongan ini supaya kesusahan mereka tidaklah seperti dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya juga akan mengemukakan keperluan yang diperlukan nelayan dalam Bajet 2017.
"Kita cuba mendapatkan bantuan peralatan baharu seperti enjin, alat pengesan dan pukat untuk membantu nelayan meningkatkan pendapatan mereka. Kita juga akan mempertimbang dan membincangkan mengenai keselamatan nelayan.
"...bukan setakat jaket keselamatan tetapi juga keselamatan di tahap lebih baik menggunakan alat pengesan lokasi (GPS) supaya dapat mengesan lokasi nelayan apabila berada di laut dan suatu sistem lebih canggih mesti dibangunkan supaya nelayan kita dapat dilindungi dalam apa jua cara," katanya.
Pada majlis itu, sejumlah RM176,780 elaun sara hidup diagihkan kepada 601 nelayan daripada tiga Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) iaitu Kemaman, Kemasik dan Kijal. -- BERNAMA