Kehidupan bekerja terus berubah dalam tempoh pasca pandemik

Bernama
Mac 11, 2021 13:13 MYT
Tiga faktor yang memberi kesan terhadap aspek kehidupan bekerja adalah lonjakan transformasi digital, waktu kerja lebih anjal serta peningkatan bekerja secara jarak jauh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Realiti kehidupan bekerja dijangka terus berubah bagi tempoh-tempoh pasca pandemik COVID-19 sejajar dengan perkembangan yang berlaku, demikian menurut hasil tinjauan membabitkan kelompok akauntan bertauliah yang menyertai webinar Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), baru-baru ini.
Dalam kenyataan pada Khamis, ICAEW berkata lapan daripada 10 responden dalam tinjauan pasca webinar itu percaya realiti kehidupan bekerja tidak lagi sepertimana sebelumnya.
Malah, tiga faktor utama yang terbukti memberi kesan terhadap aspek itu adalah lonjakan transformasi digital (87 peratus), waktu kerja lebih anjal (74 peratus) serta peningkatan bekerja secara jarak jauh iaitu 66 peratus.
"Responden terbabit turut berkongsi mengenai cabaran besar untuk menangani pengaturan kerja baharu seperti kesukaran dari segi penglibatan pelanggan baharu dan membina hubungan (61 peratus), mengekalkan semangat atau moral kakitangan (57 peratus) dan mengekalkan pelanggan sedia ada serta hubungan berkaitan (54 peratus)," kata ICAEW.
Kesemua responden itu menghadiri Webinar Bitesize Persekutuan Akauntan ICAEW-ASEAN (AFA) mengenai Masa Depan Kerja pada 22 Februari lepas yang turut disertai oleh peserta dari negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Hong Kong.
Pada sesi itu, ICAEW berkongsi hasil dapatan tinjauannya yang melibatkan akauntan bertauliah dari lebih 50 negara yang mendapati hampir semua perniagaan menganggap kehidupan bekerja pada masa depan adalah berbeza berbanding ketika sebelum berlakunya pandemik itu.
Pengarah Serantau ICAEW bagi China dan Asia Tenggara, Mark Billington berkata walaupun terdapat kesan positif tertentu susulan bekerja secara jarak jauh, namun perniagaan/syarikat juga perlu mempertimbang manfaat berserta cabaran yang perlu dihadapi bagi tempoh jangka panjang, terutamanya ketika interaksi secara bersemuka masih disifatkan penting.
"Pada akhirnya, perlu ditekankan bahawa organisasi itu adalah mengenai mereka di dalamnya dan kejayaan serta kesejahteraan organisasi dan pekerja itu saling berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
#kehidupan bekerja #pekerjaan #gaya hidup #pandemik #COVID-19 #pasca pandemik #ICAEW #transformasi digital #jadual waktu anjak
;