Kehamilan pada usia remaja satu diskriminasi - Rohani Abdul Karim

Bernama
Julai 11, 2013 09:23 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melihat isu kehamilan gadis remaja sebagai satu diskriminasi terhadap golongan itu.
Ini kerana kata Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim, remaja yang hamil bukan sahaja tidak dapat menikmati zaman remaja mereka tetapi juga menutup peluang untuk mereka mendapat pendidikan lebih tinggi selain berisiko terhadap penderaan.
"Mereka juga akan berhadapan dengan isu kehamilan dan penjagaan anak dalam keadaan mereka masih belum bersedia untuk menjadi seorang ibu dari segi mental dan fizikal," katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut 11 Julai setiap tahun.
Rohani berkata kerajaan menerusi pelbagai jabatan dan agensinya sentiasa berusaha keras bagi memastikan kesejahteraan rakyat dinikmati segenap lapisan umur termasuklah golongan remaja.
Antara lain, beliau berkata di bawah kementeriannya, Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan telah digubal bagi melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.
Selain itu, beliau berkata kementeriannya juga telah melancarkan Kempen Respek Wanita bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai isu keganasan terhadap wanita.
Sambutan Hari Penduduk Sedunia dengan tema tahun ini 'Kehamilan Gadis Remaja' dianjur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1989, bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kependudukan dunia.
#mengandung #remaja #Rohani Abdul Karim #wanita
;