Kehadiran 'Sang Bedal' kejutkan penduduk Kampung Spaoh
Afiezul Samit
Januari 5, 2022 16:35 MYT
Januari 5, 2022 16:35 MYT
BETONG: Fenomena air pasang besar di Sungai Layar, membawa bersama tetamu tidak diundang apabila seekor buaya sesat ditemui di dalam parit di Kampung Spaoh.
Reptilia sepanjang 2.5 meter itu dipercayai masuk ke parit berkenaan ketika air pasang pada Selasa malam.
Bimbang akan keselamatan, penduduk bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong untuk menangkap buaya tersebut.
Menurut Pegawai operasi BBP Betong Henry Jugah, pihaknya menerima laporan sekitar 10.45 malam (Selasa) dan terus mengerahkan enam anggota ke lokasi kejadian.
"Memang benar terdapat seekor buaya tembaga dengan berat buaya tersebut adalah lebih 100 kilogram.
"Setibanya kami di sana, buaya tersebut telah ditangkap beberapa anggota RELA dan penduduk kampung.
"Pasukan Bomba kemudianya membantu mengikat dan menarik buaya tersebut untuk disimpan ke kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Buaya tersebut kemudiannya diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.
Difahamkan reptilia itu telah dilepaskan di Sungai Layar atas arahan pihak SFC sekitar jam 12 tengah hari Rabu.
Henry juga menasihati penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada ketika air pasang besar dan banjir kerana dikhuatiri hidupan liar masuk ke kawasan kampung.
"Kepada penduduk Betong khasnya buat masa ini memandangkan keadaan cuaca tidak menentu, saya berharap sekiranya berlaku banjir, terus pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Jangan bermain di kawasan yang dinaiki air kerana dikhuatiri kebanyakan binatang-binatang buas seperti buaya, ular dan sebagainya telah keluar dari tempat tersebut,"ujarnya.
#buaya
#fenomena air pasang besar
#Balai Bomba dan Penyelamat BBP Betong
#Sarawak Forestry Corporation SFC