Kehadiran peniaga luar, banjir jejaskan pendapatan peniaga kecil di Sebuyau

Hasimi Muhamad, Munirah Mudzamli
November 8, 2021 23:50 MYT
Dari kiri: Entia, Ten dan Ketiri ketika ditemui Astro AWANI di pekan Sebuyau, Kuching baru-baru ini - Gambar Astro AWANI
SEBUYAU: Bukan tidak mahu berkongsi rezeki, namun kehadiran peniaga luar di pekan Sebuyau, Kuching sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan peniaga tempatan.
Keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir mereka yang berharap pihak berkuasa tempatan menyediakan kawasan khas bagi kemudahan semua.
Tinjauan Astro AWANI baru-baru ini turut mendengar keperitan peniaga mengenai keadaan khemah yang sudah bocor, sehingga menyebabkan hasil jualan rosak setiap kali berlakunya hujan.
Justeru, peniaga sayur, Entia Anak Mail, yang sudah 10 tahun berniaga di kawasan itu berharap nasib para peniaga kecil akan lebih terbela pada masa akan datang.
"Jadi, minta pihak kerajaan memberi sumbangan (khemah) kepada kami kerana kalau hujan dan berangin, sayur terkena hujan dan busuk," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
"Untuk masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang luar sepatutnya tidak berjual (berniaga) di sini. Tetapi memandangkan tiap-tiap hari orang luar dari Sri Aman, Betong, Lubok Antu, (dan) Simunjan datang berjual di sini.
"Sedangkan rakyat tempatan dikekang. Kenapa pihak atasan tidak mengambil serius tentang ini?" soalnya.
Sementara itu, peniaga, Ketiri Dollah, 56, mendakwa kehadiran peniaga luar dari Sebuyau telah berlarutan sejak empat tahun lalu lagi.
"Kawasan N.27 Sebuyau, orang luar (peniaga) tak boleh masuk... tak dibenarkan. Kalau hantar barang sahaja tak apa, jangan duduk berjual di sini," katanya.
Dalam pada itu, lain pula bagi pemilik kedai makan, Ten Bujang, 53, isu banjir yang berlaku setiap tahun di pekan Sebuyau mengakibatkan dia terpaksa menutup perniagaannya.
Bagaimanapun, dia mengakui usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri melalui Projek Tebatan Banjir telah berjaya mengurangkan masalah tersebut meskipun projek itu belum siap sepenuhnya lagi.
"Sebuyau sebenarnya ada kemasukkan air banjir, sudah lama... Jadi, saya berniaga sini dengan keadaan air banjir, ia sangat susah. (Kadang-kadang) Air banjir naik paras kerusi.
"Tiap-tiap tahun air naik, memang dari dulu lagi. Bila benteng (laut) sudah dibina, saya tengok keadaan semakin baik," ujarnya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan sejumlah RM675 juta untuk Projek Tebatan Banjir sepanjang jalan pesisir Sarawak meliputi kawasan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bagi menghalang air masin dari membanjiri jalan pesisir, serta tidak memasuki kawasan pertanian.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau terletak di bawah Parlimen Batang Lupar.
Selain DUN Sebuyau, dua lagi ialah DUN Lingga dan Beting Maro.
#PRN Sarawak #Peniaga kecil #banjir Sarawak #Abang Johari Tun Openg #Sebuyau
;