Kehadiran pemerhati asing pada PRU14 dialu-alukan - Suhakam
Bernama
April 24, 2018 05:58 MYT
April 24, 2018 05:58 MYT
Kehadiran pemerhati asing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah sesuatu dialu-alukan kerana ia manifestasi yang jelas terhadap kematangan politik negara, kata pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Razali Ismail.
"Jika kita tidak mempunyai apa-apa disembunyikan, kita harus membenarkan orang melihat apa kita lakukan. Mereka datang bukan menunjukkan kepada kita cara yang betul, tetapi kerana kita tahu kita boleh mengendalikan pilihan raya dengan baik," katanya kepada pemberita selepas perbincangan tertutup mengenai peranan media dalam pilihan raya yang bebas dan adil, di sini semalam.
Bagaimanapun, Razali berkata pemerhati asing itu hanya memantau proses pilihan raya dan bukan mengesan adanya penipuan.
Katanya Malaysia juga harus mempunyai cara sendiri untuk memantau proses pilihan raya, justeru Suhakam secara sukarela akan terlibat sebagai pemerhati pada PRU14 terdiri daripada pesuruhjaya, kakitangan dan sukarela, yang akan ditempatkan di negeri-negeri tertentu terutama di 'kawasan panas', tiga hari sebelum hari pengundian.
Beliau berkata demikian mengulas laporan berita mengatakan bahawa kerajaan secara konsisten enggan membenarkan pemerhati luar semasa PRU14. Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menjemput pemerhati dari 14 negara untuk terlibat sebagai pemerhati asing pada pilihan raya umum itu, 9 Mei ini.
Dari 14 negara dijemput, tujuh negara sudah bersetuju untuk menghantar wakil sebagai pemerhati pada PRU14 iaitu Indonesia, Thailand, Maldives, Timor Leste, Kemboja, Kyrgyzstan dan Azerbaijan.
Razali berkata pemerhati asing yang terlibat akan melihat bagaimana rakyat dapat terus menunjukkan dengan jelas komitmen mereka terhadap demokrasi, dan rakyat dapat membuat pilihan atas kehendak mereka sendiri.
Pilihan raya bukan sahaja mengenai parti politik tetapi memilih individu yang dapat menjaga kawasan dengan baik. Namun, dari sudut lain, rakyat Malaysia lupa bahawa pengundian untuk parti harus menjadi pertimbangan kedua.
Beliau juga menggesa orang ramai membuat aduan berkaitan PRU14 jika mereka mendapati wujud amalan seperti politik wang serta pembiayaan, pemberian dan dorongan memberi imbuhan kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam pilihan raya di Malaysia.
"Pilihan raya yang bebas dan adil adalah penting dalam memastikan hak asasi manusia. Mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil bermakna hak asasi manusia masih subur dan keperluan rakyat mendapat pertimbangan," katanya.
Suhakam buat pertama kali akan memantau pilihan raya di lapangan. Antara kawasan yang akan dipantau ialah di 'kawasan panas' seperti Bangi, Selayang, Puchong, Sungai Buloh, Titiwangsa, Lembah Pantai, serta Kubang Pasu di Kedah dan negeri-negeri lain.
Sementara itu, pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Aishah Bidin berkata pengamal media perlu melaporkan berita yang adil dan seimbang semasa PRU14 kerana orang ramai berhak untuk mengakses semua maklumat.
Katanya pengamal media, media sosial, masyarakat dan penulis blog sudah menjadi medium penting dalam menyalurkan maklumat, kerana maklumat yang disampaikan kepada masyarakat mungkin boleh dimanipulasi.
Beliau berkata media sosial sukar untuk dikawal selia, tetapi mudah dimanipulasi, justeru pengamal media harus mempunyai etika dalam menyampai dan menyalurkan maklumat.
-- BERNAMA