Kehadiran MP bukan isu - Mohamad Ariff

Bernama
Oktober 24, 2018 18:48 MYT
Mohamad Ariff berkata kehadiran rendah anggota Parlimen ke mesyuarat Dewan Rakyat adalah perkara biasa dan ia bukan satu isu. -Bernama
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata kehadiran rendah anggota Parlimen (MP) ke mesyuarat Dewan Rakyat adalah perkara biasa dan ia bukan satu isu.
Mohamad Ariff berkata beliau memahami situasi yang dihadapi MP termasuk menteri dan timbalan menteri sekiranya mereka tidak dapat menunggu sehingga mesyuarat selesai yang kadang kala berlarutan sehingga lewat malam.
"Semua orang faham menteri pun ada urusan di pejabat. Kita bukan macam parlimen Australia, semua berada dalam satu bangunan, kementerian sebelah kiri, Parlimen di tengah, jadi mereka boleh datang secepat mungkin. Tetapi kementerian kita di Putrajaya.
"Ini perkara biasa, dari dulu sampai sekarang memang itu Parlimen. Kalau kita pergi parlimen luar negeri, sama sahaja. Kalau (mesyuarat selesai) pukul 12, tidak mungkin hendak ada 222 (anggota Parlimen). Selagi ada korum, itu memadai," katanya selepas Majlis Penyerahan Buku Undang-Undang JANAB's Law Series kepada Parlimen, di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Katanyaya Hansard (Penyata Rasmi) Parlimen yang merekodkan setiap perbahasan dalam mesyuarat Dewan Rakyat lebih penting berbanding jumlah kehadiran MP.
Isu kehadiran MP ke mesyuarat Dewan Rakyat sekali lagi dibangkitkan semalam oleh Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat.
Beliau mempersoalkan kehadiran sesi petang persidangan semalam yang merekodkan tidak lebih 20 peratus daripada 222 anggota Parlimen hadir.
-- BERNAMA
#anggota parlimen #Datuk Mohamad Ariff Md Yusof #Dewan Rakyat #kehadiran rendah #Yang Di-Pertua Dewan Rakyat
;