Kegiatan ternak ikan dalam sangkar di Tanjung Piandang lumpuh

Aida Aziz
Ogos 29, 2019 18:57 MYT
Ada cadangan daripada pengusaha ikan sangkar supaya mreka diberikan kawasan baharu untuk menjalankan ternakan mereka. - Astro AWANI
Kegiatan menternakan ikan dalam sangkar yang diusahakan oleh lebih 20 pengusaha ikan di sini lumpuh apabila kesemua ikan yang diternak mati secara mengejut menyebabkan mereka menanggung kerugian kira-kira RM20 juta.
Kesemua ikan berkualiti tinggi itu, termasuk siakap, jenahak, bawal dan ikan merah, yang siap untuk dijual ke pasaran tempatan dan luar negara termasuk Singapura dan Thailand didapati mati dalam tempoh singkat dipercayai kekurangan oksigen dalam air laut akibat perubahan kualiti air.
Susulan kejadian itu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Perikanan Negeri serta Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri telah menemui penternak ikan terbabit untuk mendengar keluhan dan permasalahan mereka.
Menurut Abdul Yunus, pihak Jabatan Perikanan Negeri Perak telahpun mengambil sampel air dan ikan dilokasi untuk ujian makmal FRI Batu Maung, Pulau Pinang.
"Kita sedang menunggu hasil laporan ujian itu yang diharapkan akan diketahui dalam masa terdekat ini,'' katanya kepada pemberita pada Khamis.
Abdul Yunus juga memberitahu, penternak-penternak ikan terbabit juga telah diminta membuat laporan segera berhubung kos kerugian yang mereka tanggung untuk diserahkan kepadanya bagi tindakan selanjutnya.
Katanya, satu dialog akan diadakan dengan kesemua penternak ikan terbabit dalam masa terdekat ini untuk mendapatkan segala pandangan berhubung permasalahan yang dihadapi dan langkah terbaik ke arah penyelesaiannya.
Mengenai permintaan para penternak ikan terbabit supaya mereka diberi kawasan baharu untuk penternakan ikan dalam sangkar, katanya, kerajaan negeri sedang menimbang perkara itu memandangkan kawasan penternakan sedia ada tidak sesuai lagi diteruskan sebagai kawasan penternakan ikan.
Sementara itu seorang pengusaha ikan dalam Ng Choo Kwan, 35, berkata, beliau mengetahui ternakan ikannya mati pada jam 7 malam semalam dan kejadian itu sungguh mengejutkan.
Katanya, susulan kejadian itu beliau mengalami kerugian lebih RM200,000.
"Saya dan rakan-rakan penternak yang terlibat bimbang tentang nasib masa depan kami kerana sudah kehilangan punca pendapatan.
"Saya amat mengharapkan kerajaan negeri Perak dapat membantu meringankan beban masalah kami selain memberikan kami kawasan baharu untuk menternak ikan.
"Paling menyedihkan sudah 7 tahun kami menternak ikan... baru semalam berlakunya kejadian mengejutkan ini, kami sudah kehilangan punca pendapatan," katanya.
#ikan mati #ikan sangkar #jabatan perikanan negeri #kualiti air #pencemaran #penternak #sampel air #ternak ikan
;