Kegiatan punggah keluar hasil galian, Pahang beri kerjasama kepada SPRM

Bernama
November 16, 2024 17:09 MYT
Wan Rosdy berkata pihaknya sejak sebelum ini lagi sentiasa bertegas dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti haram mencuri hasil galian. - Gambar fail
KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur sah yang ditetapkan negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya sejak sebelum ini lagi sentiasa bertegas dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti haram mencuri hasil galian kerana akan menyebabkan ketirisan hasil sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi dan rakyat Pahang.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan SPRM menahan tiga individu yang terlibat dengan kegiatan haram tersebut termasuk seorang pegawai agensi kerajaan negeri kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti itu, semalam.
"Apabila berlakunya kecurian mineral bauksit kerajaan negeri akan kehilangan hasil dan apa-apa pun kita tunggu keputusan mahkamah. Masih lagi dalam peringkat siasatan (dan bagi tujuan ini) memang kita akan bagi kerjasama.
"(Sebelum ini), mereka yang melakukan kesalahan mencuri atau apa pun aktiviti haram (kerajaan Pahang telah mengambil tindakan) bukan sahaja dikompaun, kita bawa (mereka) terus ke mahkamah. Itu menunjukkan betapa seriusnya kita.
"Kini dengan adanya (siasatan) SPRM, lagi baiklah untuk kita meminimumkan atau menghapuskan langsung ketirisan hasil kerajaan negeri. Apabila berlakunya kecurangan sebegini, kerajaan negeri akan kehilangan hasil dan yang rugi rakyat juga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya berhubung isu penahanan tersebut selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Daerah Kuantan di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dipetik berkata dua lagi yang ditahan dalam serbuan di sekitar Bukit Goh di sini itu adalah pemilik syarikat yang dipercayai terbabit dalam kegiatan yang dilindungi pegawai berkenaan sejak 2022.
Azam berkata wang rasuah diberikan kepada pegawai agensi kerajaan negeri itu adalah sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti tersebut dan SPRM kini masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah suapan terlibat.
Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu direman hingga 19 Nov ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi semalam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan Pahang mengutip jumlah hasil melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut, Wan Rosdy berkata ia hasil kecekapan kerajaan negeri menguruskan ketirisan dan kebocoran hasil antaranya kecurian bauksit dan penyalahgunaan kuasa.
"Seperti dijanjikan, selain daripada kos tetap yang wajib kerajaan negeri bayar, selebihnya kita kembalikan kepada rakyat antaranya dalam bentuk Program Anggun Suri pada hari ini.
"Program ini (kahwin beramai-ramai) pertama kali dilakukan dan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk bantu pasangan yang menghadapi kekangan kewangan. Kerajaan negeri turut memberikan sumbangan RM300 kepada mereka yang kahwin kali pertama," katanya.
-- BERNAMA
#Pahang #bauksit #SPRM #hasil galian
;