Kegiatan pelacuran guna WeChat di Terengganu terbongkar
Sharom Abu Bakar
Oktober 21, 2018 18:07 MYT
Oktober 21, 2018 18:07 MYT
Polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik sebuah rumah urut di Cherong Lanjut, Kuala Terengganu pada malam Sabtu.
Ia susulan penahanan sepasang suami isteri yang bertindak sebagai penjaga serta dua wanita warga Thailand yang dipercayai pelacur.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai menggunakan platform WeChat bagi mempromosikan kegiatan pelacuran.
“Tidak dinafikan siasatan polis mendapati ada juga pelacur tempatan. Perempuan-perempuan tempatan melacurkan diri di situ tetapi nasib baik malam semalam tiada.
“Melalui risikan, terdapat bukti dalam WeChat yang dibangunkan di mana terdapat dua perempuan atau lebih yang kita percaya mereka berbangsa Melayu tempatan yang memberikan khidmat pelacuran di tempat itu,” katanya.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam Sabtu itu, polis merampas kondom, minyak urut, buku, telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM3,000 dipercayai hasil daripada urus niaga terbabit.
Wanita berusia 21 dan 32 tahun serta pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
#Kuala Terengganu
#pelacur
#Superintendan Suffian Sulaiman
#Thailand
#Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu
#warga
#WeChat