Kegiatan curi bekalan elektrik premis bitcoin masih berleluasa?

Hilmi Malik
Julai 8, 2020 16:36 MYT
Serbuan di salah sebuah premis bitcoin yang menjalakan kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram hasil saluran elektrik yang telah diubahsuai
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Majlis Perbandaran Klang sekali lagi mengadakan serbuan melibatkan 10 premis bitcoin yang masih berleluasa menjalankan kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram di One Kesas Klang.
Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga, Shafie Mohamed berkata, hasil serbuan di beberapa premis mendapati terdapat kegiatan mencuri bekalan elektrik menerusi kabel yang telah diubah suai.
“Kita dapati bahawa adanya penggunaan elektrik dengan curang yang sepatutnya disalur ke meter elektrik namun perkara sebaliknya yang berlaku yang disambung terus ke premis tanpa apa-apa bayaran.
“Kegiatan ini mampu mendatangkan pelbagai risiko termasuk gangguan bekalan elektrik di kawasan berdekatan dan lebih buruk lagi boleh tercetus kebakaran sekiranya pengunaan melebihi had,” katanya ketika ditemui pada Rabu ketika Operasi Bersepadu TNB di One Kesas, Klang.
Sebelum ini, krew Astro AWANI telah mengikuti operasi sama yang dijalankan pihak TNB melibatkan kegiatan sama namun pada kali ini pihak berkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah diberi kuasa untuk merampas kesemua peralatan premis bitcoin.
Timbalan YDP Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin berkata, pihaknya akan membantu dalam mengenal pasti pemilik premis sebelum kita kemukakan maklumat kepada pihak TNB dan Suruhanjaya Tenaga.
“Maklumat premis perniagaan kita boleh bekalkan dan kertas siasatan boleh diteruskan di pihak TNB dan Suruhanjaya Tenaga untuk mereka teruskan siasatan.
“Dari pihak MPK, kita ambil tindakan undang-undang, selepas pemotongan elektrik dibuat. Jadi pihak kita akan teruskan dengan proses menyita sebelum dibawa ke stor sitaan MPK,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu menyasarkaN 10 premis bitcoin yang yang telah dikesan hasil risikan dalam tempoh sebulan yang membawa kerugian dianggarkan berjumlah RM30,000 sebulan bagi setiap premis.
Namun, apa yang menjadi persoalan, bagaimana kegiatan ini masih berleluasa seolah-olah terdapat pihak yang kebal terhadap undang-undang dan penguatkuasaan.
Sebelum ini, TNB melaporkan kerugian jutaan ringgit hasil kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram malah ada pihak yang bertindak agresif menyerang penguatkuasa termasuk menerima ugutan sebaik sahaja premis mereka diserbu.
#Bitcoin #Curi Elektrik #kebakaran #Majlis Perbandaran Klang #Suruhanjaya Tenaga #TNB
;