Kegiatan Ah Long masih berleluasa kerana terdapat permintaan daripada masyarakat

Ridauddin Daud
Oktober 11, 2023 10:45 MYT
Shamsul Anuar berkata, masyarakat tertarik kerana tawaran Ah Long lebih mudah daripada pinjaman ditawarkan institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kegiatan Ah Long masih berleluasa kerana masih terdapat permintaan daripada masyarakat untuk mendapatkan pinjaman wang menerusi institusi kewangan tidak berlesen.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, masyarakat ‘tertarik’ kerana tawaran Ah Long lebih mudah daripada pinjaman ditawarkan institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen.
Tambah beliau, masyarakat juga lebih cenderung memilih Ah Long kerana kesukaran mendapat pinjaman daripada institusi kewangan berlesen.
Begitupun, tegas Shamsul Anuar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan operasi dan tangkapan terhadap institusi pinjaman wang tidak berlesen.
“Sebanyak 734 operasi telah dijalankan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2023 di seluruh negara.
“Seramai 898 orang telah ditangkap dan sebanyak 146 kes telah dibuat pertuduhan.
"Selain daripada itu, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan bertindak menurunkan iklan pinjaman wang, meminta SKMM memadam iklan pinjaman wang tidak berlesen di media sosial dan mengesan Ah Long melalui pelbagai sumber.
“Ia termasuk nombor telefon yang terdapat pada iklan. Polis juga menjalankan kerjasama dua hala dengan syarikat telekomunikasi, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk membantu mengesan lokasi suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa, menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN - Besut) yang meminta kerajaan mengatasi masalah kes keganasan yang telah dilakukan oleh Ah Long.
Tambah beliau, lebih 1,000 tangkapan direkodkan pada 2021 dan pada tahun lepas, jumlah kes adalah 1,009 melibatkan 1,262 tangkapan.
#Dewan Rakyat #Shamsul Anuar Nasarah #SKMM #Ah Long #PDRM
;