Keghairahan warga Indonesia 'Mudik Lebaran'
Aizat Sharif
Ogos 7, 2013 08:41 MYT
Ogos 7, 2013 08:41 MYT
Saban tahun, migrasi manusia bermusim terbesar bersempena Hari Raya Aidilfitri pasti akan meledak di negara-negara di rantau ini.
Ini termasuklah di negara-negara seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei dimana populasi masyarakat beragama Islamnya agak ramai.
Budaya ‘Balik Kampung’ atau ‘Mudik Lebaran’ ini telah menjadi budaya sejagat di rantau ini dimana anak-anak di perantauan akan berpusu-pusu pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga tercinta.
Di Indonesia, kegilaan ‘Mudik Lebaran’ ini juga telah dicacatkan dengan insiden-insiden seperti kesesakan lalulintas yang teruk yang turut mengakibatkan kemalangan jalan raya.
Kesesakkan lalulintas yang berlaku itu pula memakan masa berjam-jam untuk disuraikan oleh polis trafik.
Memetik laporan SuaraMerdeka.com, dari Ahad sehingga Isnin lalu sahaja, terdapat 467 kes kemalangan jalan raya yang mengakibatkan 107 orang maut sementara 85 yang lain mengalami cedera parah dan 585 pula mengalami cedera ringan.
Malah dalam satu laporan berita Seputar Indonesia pada Ahad lalu, terdapat seorang lelaki bersama-sama dengan keluarganya sanggup mengharungi perjalanan selama 36 jam dengan kenderaan pengangkutan roda tiga yang dikenali Bajaj dari Jakarta ke Jawa Tengah meskipun kenderaan tersebut tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa di Indonesia untuk bergerak luar dari Kota Jakarta.
Pengangkutan kereta api di Kotaraya Jakarta juga turut dipenuhi warga pemudik yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing dan disebabkan itu tidak hairanlah jika bumbung kereta api turut menjadi tempat duduk penumpang-penumpang kelas ‘ketiga’ ini.
Di Malaysia, perkara yang sama dan tidak jauh bezanya juga berlaku dimana keghairahan warga Indonesia ini yang berpusu-pusu untuk pulang ke destinasi masing-masing di Sumatera dapat dilihat.
Walaupun esok dijangka jutaan umat Islam di seluruh dunia akan merayakan Lebaran, Astro Awani pada Selasa berpeluang ke Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga yang terletak di Wisma Dato Shaari, Pelabuhan Klang untuk meninjau keghairahan warga Indonesia untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing di Sumatera.
Melihatkan dari gaya mereka yang sudah pun beratur dari seawal jam 7 pagi, mereka bagaikan tidak sabar lagi mahu pulang ke tempat asal bertemu dengan keluarga yang tercinta.
Sara Banu, 45, dari Medan berkata keghairahan ‘Mudik Lebaran’ ini berlaku kerana setiap orang tidak sabar untuk merayakan lebaran bersama keluarga sanak-saudara dan mereka sanggup mengambil apa jua risiko demi memastikan impian mereka untuk sampai ke destinasi yang dinanti tercapai.
“Saya akan pulang ke Medan dan walau apa pun terjadi, saya mesti pulang ke sana untuk bertemu keluarga saya kerana ini adalah impian hari raya saya,” kata Sara Banu.
Mohamad Ahsan, 52, dari Tanjung Balai, Sumatera Utara berkata setelah bertahun-tahun mencari rezeki di bumi Malaysia, sudah tiba masanya untuk dia dan keluarganya pulang menemui ibu bapa di Tanjung Balai.
“Saya berjaya mendapatkan tiket walaupun pada saat-saat akhir dan sudah semestinya mudik lebaran yang bakal memakan masa antara empat hingga lima jam ini akan menjadi bermakna jika ianya disambut bersama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan,” kata Mohamad Ahsan.
Kecenderungan para pemudik ini membeli tiket di saat-saat terakhir adalah kerana memberi peluang untuk mereka mengumpul wang sebanyak mungkin untuk membeli tiket feri.
“Satu tiket pergi-balik ke Tanjung Balai atau Dumai berharga RM240 seorang, maka jika seseorang itu mempunyai keluarganya di sini yang akan dibawa bersama pulang maka jumlahnya akan bertambah, maka dengan sebab itu, saya terpaksa mengumpul wang terlebih dahulu sebelum dapat membeli tiket di saat-saat akhir,” kata Mohamad Ahsan.
Dari pengamatan Astro Awani terhadap setiap warga Indonesia yang berduyun-duyun pulang ke Sumatera ini, mereka turut akan membawa sekali bagasi-bagasi besar terdiri dari kotak-kotak besar dimana dalamnya terdapat barangan-barangan elektrik seperti pemain DVD, radio, periuk nasi dan gelas-gelas kaca.
Malah tidak kurang juga, ada yang membawa alatan memasak di dapur dan basikal kanak-kanak untuk dibawa pulang ke Sumatera.
Seorang petugas keselamatan di terminal penumpang tersebut, Md Herman, 32 yang sudah dua tahun bertugas di terminal itu berkata, demi menjaga keselamatan penumpang, setiap bagasi akan dipastikan diletakkan di bahagian penyimpanan bagasi.
“Kebanyakkan mereka suka membawa bagasi seperti kotak-kotak besar ini ke kawasan tempat duduk penumpang dan ini menyukarkan penumpang lain untuk mendapat tempat duduk seandainya tempat-tempat kosong itu diisi dengan barang-barang kepunyaan mereka,” kata Md Herman.
Menurutnya lagi, jika barang-barang seperti itu diletakkan di tempat duduk penumpang, ini akan menyukarkan penumpang untuk menyelamatkan diri seandainya feri yang dinaiki ditimpa kecelakaan.
“Dengan kawasan tempat duduk yang terhad, ditambah lagi pula timbunan barangan-barangan peribadi yang besar dibawa bersama di tempat duduk penumpang, sudah tentu akan menyukarkan penumpang-penumpang untuk menyelamatkan diri seandainya terjadi kemalangan di laut,” katanya lagi.
Pengarah Operasi Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga, Pelabuhan Klang, Azrin Shaari berkata pada musim perayaan seperti Aidilfitri, dianggarkan sebanyak 3,000 dan 5,000 warganegara Indonesia akan pulang menggunakan feri di terminal ini.
“Pada musim perayaan seperti ini, terdapat 11 perjalanan feri dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Balai dan Dumai yang akan bertolak dari terminal ini dan kita menganggarkan pada setiap hari terdapat sebanyak 3,000 hingga 5,000 warga Indonesia akan bertolak dari sini menuju ke destinasi mereka,” kata Azrin ketika ditemui di pejabatnya di terminal tersebut.
Lazimnya, pada hari biasa, terminal tersebut akan menerima kedatangan penumpang kira-kira 1,500 orang untuk 10 perjalanan ulang alik ke Tanjung Balik.
“Selalunya, di waktu begini juga, tiket-tiket feri akan habis dijual namun kita mempunyai feri-feri tambahan yang akan membawa warga-warga Indonesia ini pulang ke Sumatera,” katanya lagi.
Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga di Jalan Syahbandar, Pelabuhan Klang ini telah beroperasi pada 12 September 2011 dimana sebelumnya operasi terminal itu dijalankan di Jeti Feri Pulau Ketam.
Ianya turut memuatkan jeti sepanjang 286 meter yang disambungkan dengan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan yang meliputi kerjasama jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Laut Malaysia, RELA dan juga polis bantuan.
Operasi terminal tersebut turut mempunyai kaedah yang serupa seperti di lapangan terbang dimana ianya dilengkapi dengan empat pengimbas elektronik yang canggih dan mampu mengimbas badan manusia dan juga bagasi-bagasi dibawa penumpang feri.
Fakta menarik mengenai ‘Mudik Lebaran’:
- Mudik adalah tradisi tahunan yang berlaku di Indonesia terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
- Data statistik menunjukkan bahawa sekitar 200 Trillion Rupiah wang beredar dan ditransaksikan pada saat proses mudik tersebut.
- Menjelang Aidilfitri, peredaran ucapan Selamat Hari Lebaran mencapai 1.5 juta SMS sehari.
- Dianggarkan, sebanyak 1200 kemalangan terjadi yang meragut nyawa 260 orang pemudik.
- Fenomena mudik ini selalu berulang dari tahun ke tahun dengan angka statistik ini dijangka terus meningkat.