Kegembiraan empat sahabat mandi-manda berakhir tragedi
Sinar Harian
Jun 9, 2022 06:15 MYT
Jun 9, 2022 06:15 MYT
JELI: Kegembiraan empat sahabat bermandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual di sini sempena cuti persekolahan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas pada Khamis.
Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, mangsa, Nor Aina Mohd Nasir, 17, lemas selepas cuba menyelamatkan rakannya yang tergelincir.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin berkata, empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli itu berkunjung ke lokasi perkelahan berkenaan pada jam 3 petang untuk mandi-manda.
“Mangsa bersama seorang rakan sebaya turun untuk mandi, namun tiba-tiba rakannya itu tergelincir. Mangsa cuba menyelamatkan rakannya itu tetapi dia turut dihanyutkan air serta tenggelam.
“Mangsa gagal ditemui tetapi rakannya diselamatkan oleh orang kampung yang kebetulan berkelah di tempat kejadian pada jam 3.15 petang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa ditemui lemas oleh abangnya yang tiba di lokasi kejadian pada jam 3.35 petang.
“Abang mangsa melakukan beberapa kali selaman dan menemuinya sebelum pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli tiba.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan lanjut,” katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.