Kegembiraan empat rakan mandi-manda diragut tragedi lemas

Umavathi Ramayah
Mei 21, 2023 18:22 MYT
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa menggunakan kaedah 'surface water rescue'. - JBPM Selangor
HULU SELANGOR: Kegembiraan sekumpulan empat rakan bermandi-manda di air terjun Lata Medang, di Kuala Kubu Bharu pada hujung minggu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.26 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan itu, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 3.08 petang.
"Berdasarkan laporan awal, kita mendapati mangsa, Muhammad Solihin Khairul Hisham lemas ketika sedang bermandi bersama tiga rakannya.
"Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa menggunakan kaedah surface water rescue," katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.
Hafisham memberitahu, mayat remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditemukan pada pukul 4.03 petang.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian katanya, mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat remaja itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#mati lemas #Lata Medang #Kuala Kubu Bharu #JBPM
;