Keganasan rumah tangga: NGO berperanan sebar maklumat perundangan - Nancy

Bernama
Februari 2, 2023 20:30 MYT
Nancy berkata sebanyak 506 kes keganasan rumah tangga dilaporkan menerusi Talian Kasih tahun lepas, berbanding 468 kes pada tahun sebelumnya. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat berkaitan undang-undang dalam isu keganasan rumah tangga terutama kepada wanita di luar bandar, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Ini termasuk Skuad Wanita Antijenayah (Skuad Waja) yang mempunyai keahlian kira-kira 350,000 orang di seluruh negara bagi menyampaikan informasi tersebut, katanya.
"Kita bergantung harap kepada NGO ini untuk menyebarkan maklumat berkaitan supaya kita dapat membantu dari soal perundangan kepada mangsa di luar sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Matahari (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan Iris (Literasi Perundangan dan Hak Wanita) di sini hari ini.
Beliau berkata program Matahari merupakan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kendiri menerusi strategi psikologi dan pemikiran positif bagi memastikan emosi yang stabil dalam kalangan wanita.
Katanya, program itu hasil penemuan kajian yang menunjukkan kepentingan pengurusan isu kesihatan mental wanita serta pengurusan tekanan termasuklah susulan impak pandemik COVID-19.
Nancy berkata program Iris pula memfokuskan kepada elemen pemahaman tentang perihal penganiayaan terhadap wanita dari segi perundangan.
"Iris berfungsi untuk menyampaikan ilmu mengenai hak individu dari aspek perundangan, saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa keganasan dan diskriminasi," katanya.
Beliau berkata sebanyak 506 kes keganasan rumah tangga dilaporkan menerusi Talian Kasih tahun lepas, berbanding 468 kes pada tahun sebelumnya.
Sementara itu mengulas video tular seorang wanita tidak dibenarkan memasuki balai polis kerana mengenakan seluar pendek, Nancy berpendirian adalah tidak wajar untuk menghalang individu yang pemakaiannya kurang sesuai hadir ke balai polis untuk membuat laporan.
Katanya wanita berkenaan dalam keadaan kecemasan dan memerlukan pertolongan serta perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas terlibat dalam kemalangan.
-- BERNAMA
#Nancy Shukri #NGO #keganasan rumah tangga #Skuad Wanita Anti Jenayah
;