Keganasan dilakukan rejim Zionis harus dicela masyarakat dunia - PM Muhyiddin
Nickyson Nyambar
Mei 15, 2021 21:53 MYT
Mei 15, 2021 21:53 MYT
KUALA LUMPUR : Serangan yang dilakukan oleh rejim Israel jelas menyalahi undang-undang antarabangsa dan harus dicela oleh masyarakat dunia.
Untuk itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Kerajaan Malaysia akan bersama-sama mengutuk dan mengecam sekerasnya tindakan Israel ke atas Palestin ketika ini.
Perkara itu dinyatakan dalam perbincangan Muhyiddin bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo menerusi panggilan telefon pada Sabtu.
"Kita sudah membuat kenyataan mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel dan pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan juga para jemaah yang diberitahu beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei yang lepas.
"Kita juga telah bersama-sama mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis.
"Antara lain, kita juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang telah dilancarkan oleh rejim Israel di Gaza pada 10 Mei lalu. Yang ini pun kita sudah keluarkan kenyataan keras yang tegas. Yang mengakibatkan ramai terkorban termasuk wanita dan rakyat Palestin itu sendiri," kata beliau kepada Presiden Republik itu.
Pada masa sama, sebelum ini Muhyiddin menerusi perutusan pada Sabtu berkata Malaysia mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Malah, beliau berkata, kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
#Perdana Menteri
#Tan Sri Muhyiddin Yassin
#rejim Zionis
#Presiden Indonesia
#Joko Widodo
#Serangan Masjid Al-Aqsa
#Sheikh Jarrah
#Gaza
#Palestin
#Israel
#Baitul Maqdis
#PBB