Keganasan di Paris tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama - Asyraf Wajdi
Astro Awani
November 15, 2015 17:43 MYT
November 15, 2015 17:43 MYT
Perbuatan menuding jari dengan menyalahkan Islam dan mengaitkan agama itu dengan perbuatan keganasan tanpa bukti yang kukuh, tidak akan membantu membaiki keadaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menegaskan semua pihak perlu memberi ruang untuk siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti dalang sebenar di sebalik perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
Beliau diminta mengulas mengenai serangan maut yang berlaku di Paris yang telah mengorbankan lebih daripada 120 nyawa, dan sentimen yang mengaitkan insiden itu dengan Islam.
“Pertamanya, kita bersama masyarakat dunia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang tidak berperikemanusian. Saya kira siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan untuk menentukan siapa di belakang tindakan keganasan tersebut.
“Justeru, saya rasa adalah tidak adil jika mana-mana pihak menunding jari kepada sesiapa sahaja, dalam konteks ini,” ujar beliau.
Beliau menegaskan mana-mana agama khususnya Islam sendiri, sama sekali tidak membenarkan tindakan keganasan sedemikian.
Jelas Asyraf Wajdi, Islam adalah agama perdamaian dan Nabi Muhammad SAW juga telah menggariskan peraturan-peraturan khusus kepada tentera Islam sebagai panduan dalam peperangan.
Beliau menekankan, pihak yang melakukan serangan berdarah di Paris tidak berhak mendakwa mereka berjuang atas nama Islam kerana mereka tidak patuh kepada ajaran Islam yang sebenar.
Tambah beliau, walaupun perbuatan itu didakwa dilakukan atas nama agama, pelaku tersebut sebenarnya tidak sesekali mewakili agama yang dikatakannya.
“Mana-mana agama tidak menghalalkan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Apatah lagi dalam konteks Islam, kerana Islam tidak sesekali menghalalkan perbuatan pembunuhan mereka yang tidak berdosa.
“Dalam peperangan sekalipun Nabi meletakkan syarat yang penting. Antaranya tidak boleh membunuh wanita yang tidak terlibat dalam peperangan, anak-anak, orang tua, mereka yang mencari perlindungan di rumah ibadah, apatah lagi orang awam,” katanya yang sama sekali menolak perkaitan insiden itu dengan label agama Islam.
Dalam masa sama, beliau juga menyeru seluruh masyarakat dunia bersatu dan bersama-sama mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang sedang berlaku di seluruh dunia ketika ini.
Tegasnya, keganasan ketika ini tidak hanya berlaku di Paris tetapi turut melanda negara seperti Syria dan Palestin.
Tambahnya lagi, keganasan turut dilakukan penganut agama lain namun masyarakat antarabangsa tidak pernah melabelkan seperti kumpulan militan Kristian, militan Hindu atau militan Buddha.
Asyraf Wajdi turut menyeru masyarakat antarabangsa agar berlaku adil dan tidak mengaitkan sebarang bentuk keganasan dengan agama Islam secara melulu.
Beliau ditemui pada majlis multaqa dan penyampaian anugerah pegawai masjid, guru takmir dan guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) peringkat Pulau Pinang di UiTM Permatang Pauh pada ahad.