Keganasan di Gaza, PBB didesak ambil tindakan

Bernama
November 15, 2012 12:43 MYT
Malaysia hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan tegas berhubung apa yang disifatkan sebagai tindakan ketenteraan tidak bertanggungjawab oleh Israel yang menyasarkan orang awam di Gaza.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh aktiviti ketenteraan dan serangan udara Israel di Gaza, yang telah membunuh seorang pemimpin Palestin dan meragut tujuh nyawa termasuk dua kanak-kanak.
"Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghentikan sebarang tindakan provokatif, bertenang dan mengekang sebarang tindakan yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar dan kehilangan nyawa, terutama di kalangan penduduk awam di Semenanjung Gaza," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Malaysia juga menuntut Israel menghentikan serta merta tindakan ketenteraan ke atas rakyat Palestin.
#Anifah #Gaza #Israel #Majlis Keselamatan #Palestin #PBB
;