Keganasan adalah perbuatan pengecut - Anifah

Bernama
November 20, 2015 15:58 MYT
Usaha untuk melaksanakan garis tindakan di bawah rangka tindakan APSC berjalan dengan amat lancar dan kini hampir selesai sepenuhnya. - Gambar Fail
Semua tindakan keganasan adalah perbuatan pengecut dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
"Tak kiralah sama ada di Paris, Beirut, Palestin atau mana-mana bahagian lain di dunia," tegas beliau dalam mukadimah ringkas sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-13 di sini hari ini.
Sambil menyampaikan ucapan takziah dan simpati Malaysia kepada keluarga mangsa tindakan pengganas di Paris baru-baru ini, Anifah mengingatkan rakan sejawatan beliau dari negara anggota ASEAN bahawa rantau ini juga tidak terlepas daripada tindakan keganasan.
Mengenai kejadian baru-baru ini, yang beliau anggap sebagai suatu pembunuhan kejam, dipercayai merujuk kepada pembunuhan rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf,
Anifah berkata: "Ia menunjukkan dengan jelas kehadiran mereka di rantau ini serta bahaya yang mereka bawa.
Kata beliau, peristiwa itu memberi peringatan jelas tentang betapa perlunya negara anggota ASEAN sentiasa berwaspada dan cekal dalam menentang keganasan.
Beliau sebaliknya berkata, usaha untuk melaksanakan garis tindakan di bawah rangka tindakan APSC berjalan dengan amat lancar dan kini hampir selesai sepenuhnya.
"Dengan penubuhan Komuniti ASEAN, adalah perlu bagi kita untuk terus meningkatkan keutuhan, keberkesanan dan penyelarasan dasar serta kerjasama dalam kalangan pelbagai badan sektoral di bawah tonggak Politik-Keselamatan," katanya.
Sebelum mula mempengerusikan mesyuarat itu, Anifah juga secara rasmi mengalu-lukan kehadiran Menteri Luar baharu Thailand Don Pramudiwinai dan Menteri Luar baharu Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
"Saya yakin, di bawah kepimpinan anda, kerjasama kita akan semakin kukuh untuk membawa ASEAN ke tahap baharu," katanya.
ASEAN dinggotai Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
#Abu Sayyaf #Anifah Aman #ASEAN #ASPC #Bernard Then Ted Fen #vivian balakrishnan
;