Kegagalan tangani isu Palestin: Tiada kesepakatan dalam kalangan negara Islam - Tun Mahathir
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 18, 2021 11:57 MYT
Julai 18, 2021 11:57 MYT
KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa tiadanya kata sepakat dalam kalangan negara-negara Islam serta tindakan yang tidak sepatutnya dalam memberi respons terhadap isu Palestin adalah antara sebab kemelut negara Islam itu gagal ditangani.
Tun Mahathir ketika ditanya dalam sidang media selepas melancarkan Justice For Palestine Action Front secara maya pada Ahad berkata, itulah yang menjadi masalah sejak sekian lama ketika Palestin terus dihujani peluru dan kezaliman rejim Israel.
“Itulah yang menjadi masalah, kita sesama kita pun tak dapat capai kata sepakat. Dalam penyelesaian konkrit ada dua pihak, tapi kita dapati sekarang ini ada satu pihak yang bertindak sebagai satu unit (Israel) tetapi yang menentang tidak ada perpaduan pun. Bahkan tindakan mereka kadang-kadang berbeza.
"Ada yang kadang-kadang nak berbaik-baik dengan Israel, ada yang bermusuh dengan Israel. Ada pendirian yang berbeza-beza antara kita," jelasnya.
Tambah beliau, oleh kerana itu kesan kepada pihak yang ingin membela nasib rakyat Palestin menjadi kurang dan tidak mencapai sasaran seperti yang diharapkan.
Ini katanya, jelas jika dilihat sikap negara-negara Islam termasuk negara-negara Arab itu sendiri dalam mencari kesepakatan sesama mereka.
Lebih buruk jelas Tun Mahathir, ada sebilangan umat Islam bertindak balas terhadap kekejaman rejim Zionis itu dengan cara yang tidak sepatutnya, sehingga membawa kepada tahap membunuh mereka yang tidak berdosa serta tiada kaitan dengan apa yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.
Sedangkan, jelasnya, negara-negara Islam sepatutnya berbaik-baik dengan mereka yang bersimpati terhadap Palestin sekalipun mereka bukan dari negara Islam.
“Saya harap orang Islam mengambil tindakan secara tersusun dengan berbaik-baik dengan orang yang bersimpati dengan kita. Walaupun mereka bukan orang Islam - seperti orang Eropah, orang Kristian, orang Amerika, tetapi mereka bersimpati dengan kita, maka perlu kita berkawan dengan mereka.
“Dengan itu barulah boleh mereka kecam Israel apabila Israel melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan amalan moral tamadun manusia," katanya.
Malah jelas beliau, ketidakmampuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyuarakan pembelaan terhadap Palestin adalah kerana tindakan sebilangan pihak yang mengambil tindakan yang tidak bijak dalam membalas kekejaman Israel.