Kegagalan SST, kualiti pendidikan antara kebimbangan rakyat - Kajian

Fareez Azman
November 28, 2019 21:14 MYT
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff ditemui ketika pembentangan Indeks Kebimbangan Negara (NWI) di Ibu Negara pada Khamis. Foto: Astro AWANI
Selepas lebih setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, beberapa isu terus mendapat perhatian rakyat di negara ini.
Buat pertama kali, kajian Indeks Kebimbangan Negara (NWI) dijalankan bagi mengenal pasti tahap kebimbangan rakyat ketika ini terhadap 14 kumpulan fokus.
Kajian yang dijalankan oleh EMIR Research terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) bermula 5 September hingga 10 Oktober 2019 melibatkan 1,992 responden berusia diantara bawah 31 tahun hingga 50 tahun dari seluruh negara.
Empat Teras jadi kebimbangan rakyat (NWI)
Kajian turut melibatkan 104 kumpulan sasaran terdiri daripada guru, petani; nelayan; peniaga berbangsa Cina, Melayu dan India; penjawat awam; bekas pekerja Felda, Bumiputera Sabah dan Sarawak; serta masyarakat Orang Asli.
Sepanjang kajian terdapat empat faktor utama mencatatkan indeks 'sangat bimbang' dengan bacaan 0.77 pada skala 0 hingga 1.
Ia membabitkan isu ekonomi, keselamatan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
Dibawah sudut ekonomi, sebanyak tiga isu yang menjadi kebimbangan rakyat iaitu kegagalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menurunkan harga barang, kualiti pendidikan dan subsidi nelayan serta petani yang dihapuskan oleh kerajaan.
Di sudut keselamatan pula, indeks berada pada tahap 'sangat bimbang' berhubung kadar jenayah, masalah sosial dan rasuah dan salah guna kuasa.
Manakala bagi kos sara hidup, rakyat 'sangat bimbang' dengan hutang peribadi atau hutang seumur hidup, serta tidak mampu memiliki rumah kerana harga yang tinggi dan kenaikan barangan asas.
Kesejahteraan Negara (NWI)
Selain itu, kajian turut dijalankan terhadap responden berkaitan kesejahteraan negara.
Sebanyak tiga teras mendapat respon rakyat yang menjadi kebimbangan dan penyebab mereka tidak lena tidur berkaitan teras itu.
Teras pertama ialah 'adakah masa depan negara di landasan yang tepat' menyaksikan 50 peratus responden pada tahap tidak pasti.
Manakala 26 peratus bersetuju bahawa masa depan negara di landasan yang tepat, dan 24 peratus tidak bersetuju.
Teras kedua berkaitan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang berfungsi dengan betul menyaksikan 46 peratus mengatakan mereka 'tidak pasti'.
Ia diikuti 30 peratus mengatakan tidak setuju dan 24 peratus bersetuju.
Teras ketiga pula mendapati 44 peratus mengatakan 'tidak pasti' bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh.
Manakala 30 peratus mengatakan tidak setuju dan 26 peratus responded bersetuju ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh.
Keadaan Hidup (NWI)
Bagi teras keadaan hidup pula, kajian mendapati 37 peratus responded mengatakan keadaan hidup mereka lebih baik berbanding dua tahun lalu.
37 peratus juga menjangkakan masa depan yang lebih baik, manakala 44 peratus mengatakan tiada perbezaan hidup mereka berbanding dua tahun lalu.
The Perut Economy (NWI)
The Perut Economy pula merupakan kajian kualitatif terhadap kumpulan fokus berkaitan keperluan rakyat yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan pemerintah.
Isu berkaitan kos barangan asas yang dilihat membebankan rakyat mendapat respon tertinggi iaitu sebanyak 86 peratus.
Peratusan sama direkod membabitkan dilema golongan B40 dan M40 dalam pemilikan rumah mampu milik apabila harga pasaran rumah dilihat masih tinggi.
Sementara itu, 75 peratus rakyat bimbang mengenai rasuah dan salah guna kuasa, 77 peratus rakyat bimbang berkenaan kekurangan peluang pekerjaan, 76 peratus rakyat bimbang kadar penganguran golongan belia dan kadar hutang untuk menampung kos sara hidup yang tinggi, 65 peratus rakyat bimbang berkaitan subsidi pertanian yang dikurangkan manakala 63 peratus responden bimbang berkenaan kualiti pendidikan dan kos bagi perubatan awam.
Pelan dan inisiatif kerajaan (NWI)
Dibawah NWI, turut dijalankan kajian berkenaan persepsi rakyat terhadap pelan dan inisiatif kerajaan sejak 9 Mei tahun lalu.
Daripada 16 pelan dan inisiatif kerajaan yang disenaraikan, 64 peratus rakyat bersetuju tindakan kerajaan membasmi rasuah di bawah agensi kerajaan.
57 peratus bersetuju polisi penjawat awam yang bersih dan efisyen, 49 peratus rakyat pula bersetuju perlaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pula menyaksikan 48 peratus rakyat bersetuju ia dilaksanakan.
Berhubung penguatkuasaan terhadap rasuah, 46 peratus bersetuju kuasa autonomi diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membasmi gejala itu.
Dalam pada itu, tiga inisiatif kerajaan menerima 'setuju' paling rendah di kalangan responden - 24 peratus bersetuju dengan pelan kerajaan membenarkan kilang nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd beroperasi semula sebanyak di Kuantan Pahang, 19 peratus bersetuju dengan projek kereta terbang manakala 10 peratus bersetuju dengan pengambilan pekerja asing dari Afrika.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, dapatan dari kajian itu perlu diambil perhatian oleh semua pihak berkenaan denyut nadi rakyat.
"Kajian ini kita akan teruskan kerana objektif utama kajian ini untuk membantu pembuat dasar melibatkan semua pihak berkepentingan.
"Pada zaman berita palsu ini, kita memerlukan berita benar dan telus kerana itu yang akan membantu sesuatu dasar dibuat menyentuh rakyat, itu yang kita mahu buat secara berterusan," katanya selepas pembentangan kajian NWI di Pejabat EMIR Research di Ibu negara pada Khamis.
Kajian NWI dijalankan oleh 25 penyelidik diketuai Professor Datuk Dr Mohamad Sahari Nordin, Professor Dr Tunku Mohar dan Professor Datin Dr Margarita Peredaryenko.
#B40 #Bumiputera #Cukai Jualan dan Perkhidmatan #EMIR Research #Felda #golongan berpendapatan rendah #Indeks Kebimbangan Negara #kualiti pendidikan #M40 #Malaysia #NWI #Pakatan Harapan #peniaga #rakyat #SPRM #SST
;