Kefahaman jelas bantu rakyat terima teknologi AI

Bernama
Januari 17, 2024 09:45 MYT
Sejak teknologi AI mengambil tempat dalam landskap ekonomi dan industri di seluruh dunia, masyarakat di negara ini tidak terkecuali diulit kebimbangan apabila melihatnya sebagai ancaman berbanding daripada impak positifnya. - Gambar Bernama
SERDANG: Kerajaan MADANI meletakkan harapan besar untuk merealisasikan aspirasi memacu teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, namun "ketidakfahaman masyarakat" dan keengganan untuk berubah menjadi cabaran utama.
Tidak dinafikan, sejak teknologi AI yang merupakan antara cabang di sebalik Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) semakin mengambil tempat dalam landskap ekonomi dan industri di seluruh dunia, masyarakat di negara ini tidak terkecuali diulit kebimbangan apabila melihatnya sebagai ancaman berbanding daripada impak positifnya.
Beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama berkata, ketidakfahaman masyarakat kepada konteks sebenar kepentingan teknologi itu mencetus kepada persepsi AI sebagai musuh serta akan mengambil alih fungsi manusia dan seterusnya menawan dunia.
Bagi mereka, pengaplikasian AI akan melenyapkan peluang pekerjaan manusia apabila ia bakal digantikan dengan teknologi itu sepertimana yang berlaku dalam beberapa sektor pekerjaan ketika ini seperti sektor perhotelan sekali gus merisikokan kepada peningkatan kadar pengangguran.
Walhal, anggapan berkenaan tidak berasas sama sekali kerana kerancakan peralihan kepada teknologi AI ini pada hakikatnya tidak akan menggantikan sepenuhnya tenaga manusia tetapi berupaya mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang boleh diisi rakyat tempatan.
"Masyarakat perlu berubah dan bersedia menerima penggunaan teknologi AI kerana dengan teknologi tersebut akan memberi peluang kepada negara untuk melahirkan generasi pekerja baharu yang boleh menggunakan pelbagai aplikasi teknologi sekali gus menambah peluang pekerjaan kepada rakyat.
Jika dahulu, industri buruh, tenaga dan kerja kita lebih bergantung kepada tenaga buruh asing, teknologi AI akan menyaksikan perubahan dalam aspek berkenaan termasuklah dapat membantu menangani masalah dalam pelbagai sektor seperti pertanian dan sebagainya," kata Prof Rusli Abdullah.
Oleh kerana itu, Timbalan Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Majlis Profesor Negara (MPN) ini melihat program AI Untuk Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam, sebagai antara inisiatif terbaik Kerajaan Perpaduan dalam menyebarluaskan mengenai kepentingan dan manfaat teknologi berkenaan.
Pemahaman asas mengenai tekonologi AI sangat penting kerana ia merupakan peringkat paling utama dalam menarik kebersamaan masyarakat untuk turut sama mengadaptasi teknologi berkenaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah pembinaan ekonomi digital kalis masa depan sekali gus menjana nilai lebih tinggi di persada dunia.
Menerusi kefahaman yang jelas, beliau berkata masyarakat juga akan dapat menerima AI dalam konteks lebih meluas bahawa teknologi AI bukanlah pengganti kepada pekerjaan menggunakan tenaga manusia tetapi sebenarnya melengkapi dan sekiranya diterokai dengan baik ia akan menyuntik kesan positif dalam pelbagai sektor.
Ini juga sejajar dengan laporan sebelum ini, "The Economy Impact Of Generative AI: The Future of Work In Malaysia" yang dikeluarkan oleh Malaysia Centre for 4th Industrial Revolution bahawa teknologi AI Generatif sahaja berpotensi membuka kapasiti produktif bernilai US$113.4 bilion dalam ekonomi Malaysia jika ia diterima pakai sepenuhnya merentas semua industri.
Langkah kerajaan memperkenalkan program AI Untuk Rakyat yang merupakan kerjasama dengan Intel Malaysia itu juga dilihat pakar dapat membantu menangani jurang literasi digital dan pemahaman AI dalam kalangan masyarakat khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, masalah jurang digital di Malaysia masih lagi besar dan antara faktor menyebabkan ada yang tidak mahu ikut serta akan anjakan kepada paradigma teknologi berkenaan.
"Masalah paling besar apabila masyarakat tidak faham dan ini menimbulkan kepada pelbagai anggapan. Ini perlu diatasi khususnya bagi masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman memandangkan negara ketika ini berhadapan dengan masalah jurang digital.
Tetapi, saya melihat pelaksanaan program AI Untuk Rakyat antara pendekatan terbaik kerajaan untuk mendedahkan masyarakat secara keseluruhannya mengenai perkara paling asas apabila kita bercakap mengenai AI supaya rakyat tidak ketinggalan atau enggan berubah," katanya.
Anwar juga semasa ucapan pelancarannya turut menekankan akan kepentingan semua pihak untuk menyahut segera anjakan paradigma ke arah teknologi AI ini bagi memastikan negara tidak ketinggalan memandangkan adalah satu kerugian besar sekiranya ia tidak dimanfaatkan.
Justeru, beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan mahu program itu dimulakan secepat mungkin bagi melahirkan masyarakat celik digital dan celik AI dengan menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini.
Sama ada mahu atau tidak, masyarakat tidak ada pilihan selain beradaptasi dengan teknologi AI dan kerana itu, program AI yang merupakan program pembelajaran kendiri dalam talian untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai mengenainya dapat membantu ke arah kebersamaan untuk menyahut saranan kerajaan sekali gus ke arah menuju negara berpendapatan tinggi. - BERNAMA
#kecerdasan buatan #artificial intelligence #teknologi AI #AI Untuk Rakyat
;