Keengganan LGE berdebat akan manfaatkan MCA - Penganalisis

Israr Khalid
Mac 9, 2018 19:11 MYT
Guan Eng enggan berdebat dengan Ka Siong kerana merasakan mereka 'tidak sama darjat'. - Gambar fail.
Keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menyahut seruan debat daripada Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong berhubung isu terowong dasar laut di negeri itu hanya akan memanfaatkan parti komponen Barisan Nasional itu, kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.
Beliau berpendapat demikian kerana isu tersebut dilihat menjadi perkara yang akan dinilai pengundi khususnya pengundi Cina dan atas pagar dalam membuat keputusan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Guan Eng tidak sedia untuk berdebat dalam usaha untuk pertahankan kedudukannya kerana merasakan Ka Siong tidak berada pada kedudukan yang sama. Walhal kita pernah lihat perdebatan sebelum ini yang tidak melihat jawatan tetapi sejauh mana masing-masing bersedia mempertahan kedudukan parti.
“Saya percaya ia (isu terowong dan lain-lain) boleh melahirkan keresahan atau kebimbangan dalam pengundi Cina sendiri mengapakah ia harus meleret sehingga tahap ini, dan jika penghinaan mengaibkan juga pembunuhan karektor melalui perbuatan seperti ini berlaku, serta boleh beri impak besar kepada prestasi atau keputusan yang bakal diperolehi kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata bahawa dia enggan berdebat dengan Ka Siong kerana tidak mahu merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya sejak 2005 itu untuk berhujah dengan pemimpin nombor dua MCA.
Kata Guan Eng, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga pernah mengemukakan cabaran debat atas kapasiti sebagai Presiden MCA dan untuk kali ini, cabaran sama sepatutnya datang dari Liow Tiong Lai dan bukannya Ka Siong.
Ka Siong mencadangkan penganjuran debat itu berikutan pendedahan oleh kontraktor pembina projek terowong, Zenith Consortium Sdn Bhd telah membayar RM22 juta kepada dua orang individu sebagai rasuah untuk menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek mega berkenaan.
Ujar Dr. Sivamurugan lagi, beliau merasakan MCA menggunakan medium perdebatan sebagai usaha untuk memulihkan apa yang sukar diperolehi sebelum ini, sepertimana modus operandi yang pernah digunakan ketika berdepan PRU 13.
Walaupun mengakui masih sukar untuk BN kembali menguasai Pulau Mutiara itu dalam penentuan kali ini, isu tersebut dirasakannya bakal membawa perubahan prestasi kedua-dua parti terbabit.
“Perdebatan ini mahu digunakan sebagai satu alat untuk memudahkan mereka (MCA) mencapai pelbagai kumpulan sasar kerana merasakan ia akan ditonton oleh pelbagai kumpulan umur dan juga pengundi yang boleh menilai secara langsung.
“Dalam konteks ini, saya percaya dalam PRU nanti mereka mampu memberi persaingan yang jauh lebih baik berbanding 2008 dan 2013, dan mungkin akan berlaku sedikit perubahan dari sudut prestasi jika mereka mampu meyakinkan pengundi Tiong Hwa khususnya,” hurai beliau.
#Barisan Nasional #BN #DAP #Datuk Wee Ka Siong #Lim Guan Eng #MCA #pengundi atas pagar #pengundi Cina #pulau pinang #terowong bawah tanah #Zenith
;