Keenakan pulut udang 'gergasi' Cik La di Padang Rengas

Bernama
Januari 1, 2024 14:43 MYT
Cik La berkata ramai dalam kalangan pelanggannya melahirkan rasa terkejut melihat saiz "luar biasa" pulut udang yang dihasilkan. - Gambar/ Bernama
KUALA KANGSAR: Mahu menampilkan kelainan serta menarik perhatian pelanggan telah mencetuskan idea seorang peniaga Salasiah Osman, 64, menghasilkan pulut udang gergasi sejak 10 tahun lepas.
Dikenali sebagai "Pulut Udang King", Salasiah atau mesra disapa Cik La berkata meskipun ramai dalam kalangan pelanggannya melahirkan rasa terkejut melihat saiz "luar biasa" pulut udang yang dihasilkan, rata-rata daripada mereka tertarik untuk membeli juadah berkenaan.
"Ramai yang hairan tengok saiz pulut panggang yang saya jual, kerana lazimnya mereka lihat saiz (pulut udang) hanya (panjang) sejengkal jari, namun yang saya jual ini hampir sekaki panjang dan lebarnya kira-kira 12 inci.
"Atas faktor itu mungkin membuatkan timbul keinginan mereka untuk membeli. Kami juga rasa seronok sebab kelainan yang kami tampilkan ini diterima ramai pelanggan," katanya ketika ditemui Bernama di gerainya yang terletak di Kampung Padang Rengas di sini.
Ditanya tentang penghasilan pulut udang gergasi berkenaan, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam sehari untuk menyiapkan proses daripada menanak pulut sehingga memasak inti kuih tradisional itu yang bahan utamanya terdiri daripada kelapa parut dan udang kering.
"Kita perlukan masa sekurang-kurang dua hingga tiga jam untuk proses menanak pulut dan empat jam untuk masak intinya. Prosesnya memang lama sebab kita nak dapatkan pulut yang lembut. Inti pula kena masak dengan api yang perlahan bagi pastikan adunannya sebati dan tidak berbau hangit.
"Kita juga perlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 kilogram (kg) pulut dan kira-kira 5 kg kelapa parut sehari untuk penghasilan pulut udang ini," katanya yang menjalankan perniagaan pada setiap hari bermula pukul 10.30 pagi hingga 7 malam.
Salasiah berkata hanya daun pisang abu yang digunakan sebagai pembalut kuih tradisional Melayu itu kerana ia lebih keras dan mengeluarkan aroma harum apabila dipanggang.
"Kalau daun pisang lain memang tak boleh sebab lembut dan apabila dipanggang akan cepat terbakar sehingga menyebabkan pulut menjadi rentung," kata anak jati Padang Rengas itu.
Salasiah berkata pulut udang gergasi itu dijual dengan harga RM3 sebatang dan mampu dijual kira-kira 150 hingga 300 batang sehari bergantung kepada permintaan dan hari cuti.
"Kalau hari biasa (Isnin hingga Khamis) kita boleh jual dalam lingkungan 150 ke 170 batang sehari tetapi jumlah itu akan berganda pada Jumaat hingga Ahad serta cuti umum.
"Pulut udang ini juga bukan hanya diminati orang kita (Melayu), malah saya ada seorang pelanggan tetap daripada bangsa Cina yang akan menempah kuih ini apabila tiba Tahun Baru Cina," katanya.
Mengulas tentang perancangan masa depan, Salasiah berkata dia bercadang menghasilkan pulut udang sejuk beku untuk memperluas jaringan perniagaan selain meningkatkan pendapatan seharian.
Sementara itu, seorang pelanggan Roshamilla Khalid, 39, berkata dia hanya mengetahui tentang pulut udang gergasi itu sejak penghujung November tahun lepas melalui platform media sosial.
"Saya tengok (pulut panggang ini) menerusi TikTok dan kebetulan gerai ini antara laluan saya untuk berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Kangsar, jadi memang saya berkesempatan untuk singgah membeli. Ini kali kedua beli dan bagi saya ia antara pulut udang yang sedap dan kena dengan cita rasa saya," katanya.
-- BERNAMA
#pulut udang gergasi #Padang Rengas #pulut udang king #cik la
;