Kedutaan Malaysia di Bangkok anjur resepsi hari kebangsaan, sambut hubungan dua hala yang erat

Bernama
September 13, 2024 08:30 MYT
Resepsi itu menyajikan pelbagai hidangan Malaysia, termasuk nasi lemak, mi kari, soto ayam, roti canai, dan sate. - Foto Facebook/Embassy of Malaysia, Bangkok
BANGKOK: Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menganjurkan satu majlis resepsi pada Khamis malam bagi meraikan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67.
Lebih 600 tetamu, termasuk diplomat asing, profesional Malaysia, ahli perniagaan, dan wakil daripada Dewan Perniagaan Malaysia-Thai (MTCC), Kelab Malaysia Thailand (KMT), dan Malaysians in Bangkok (MIB), menghadiri majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini.
Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan isteri, Datin Catherina Christine Cherian, menyambut tetamu dengan mesra.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Presiden Dewan Negara dan Speaker Dewan Perwakilan Wan Muhammad Noor Matha, Timbalan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Naib Presiden Pertama Dewan Senat Jeneral Kriangkrai Srirak, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt, Timbalan Setiausaha Tetap Busadee Santipitaks dan bekas Timbalan Perdana Menteri Phongthep Thepkanjana.
Dalam ucapannya, Samuel menekankan hubungan kukuh dan lama bertahan antara Malaysia dan Thailand, yang wujud sejak sebelum penubuhan Kesultanan Melaka pada awal abad ke-15.
"Thailand telah membuktikan dirinya sebagai satu daripada rakan dagang utama dan terpenting Malaysia," kata Samuel sambil menyatakan bahawa "Thailand merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan ekonomi ASEAN, menunjukkan hubungan ekonomi yang kukuh dan semakin berkembang antara kedua-dua negara."
Samuel turut mengambil kesempatan untuk merenung tempoh perkhidmatannya di Thailand ketika beliau menghampiri penghujung tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia.
"Ketika saya menghampiri penghujung tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Thailand, saya ingin menyatakan bahawa tempoh saya di sini benar-benar bermakna, dari segi profesional dan peribadi. Bekerja dengan individu yang berdedikasi dan menyaksikan hubungan kukuh antara Malaysia dan Thailand mendatangkan kepuasan," katanya.
Resepsi itu menyajikan pelbagai hidangan Malaysia, termasuk nasi lemak, mi kari, soto ayam, roti canai, dan sate.
Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan muzik, pertunjukan fesyen batik oleh pereka fesyen terkenal Malaysia Wan Huzairil Wan Hussein dan demonstrasi mencanting batik pada sebuah "wau".
-- BERNAMA
#resepsi Hari Kebangsaan #Bangkok #Kedutaan Besar Malaysia #jojie samuel
;