Kedutaan Malaysia bincang dengan Indonesia pastikan rakyat Malaysia diberi vaksin COVID-19
Bernama
Ogos 31, 2021 13:05 MYT
Ogos 31, 2021 13:05 MYT
JAKARTA: Kedutaan Malaysia di Indonesia sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan rakyat Malaysia di Indonesia diberikan vaksin COVID-19.
Kuasa Usaha Sementara Adlan Mohd Shaffieq berkata rundingan dengan syarikat farmasi milik pemerintah Indonesia, PT Bio Farma Persero dan Kamar Dagang dan Indilustri itu diadakan di bawah program vaksin gotong-royong.
Program vaksin gotong royong berbeza dengan program vaksin dilaksanakan pemerintah Indonesia yang diberikan secara percuma. Bagi program vaksin gotong-royong, kosnya perlu ditanggung individu atau majikan.
"Akan ada pembayaran (kos vaksin) dan kita sedang perincikan proses bagaimana hendak mendaftar, bagaimana kaedah pembayarannya untuk dua dos vaksin," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 di Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini.
Adlan berkata setakat ini petugas serta pegawai dan anggota keluarga kedutaan, serta penuntut di Indonesia telah diberikan vaksin menerusi program vaksin yang dilaksanakan pemerintah Indonesia.
"Kita masih mengumpul data tepat berkenaan rakyat Malaysia yang telah divaksin dan rakyat Malaysia di Indonesia (yang bekerja dan anggota keluarga mereka) yang belum menerima vaksin," katanya.
-- BERNAMA