Kedutaan Indonesia sambut baik langkah kos baru amah Indonesia
Aizat Sharif
Julai 2, 2013 07:42 MYT
Julai 2, 2013 07:42 MYT
Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan kadar baru kos pengambilan pembantu rumah Indonesia iaitu RM8,000 berbanding RM4,511 pada dua tahun lalu.
Namun menurut mereka, pihak kedutaan perlu juga mengadakan pertemuan dengan agensi pembantu rumah bagi membincangkan dengan lebih lanjut samada akan berlaku kenaikkan kos-kos yang lain juga dalam pengambilan pembantu rumah ini.
Menteri-Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya (Pensosbud) Akhmad D.H Irfan ketika dihubungi Astro Awani berkata langkah yang diambil itu seharusnya dipandang melangkaui ‘angka RM8,000’ itu.
“Kita melihat kadar baru RM8,000 ini hanyalah kos untuk membawa pembantu rumah dari Indonesia sahaja namun kita juga ingin tahu dengan pihak agensi ini samada kadar tersebut adakah melibatkan juga faktor-faktor lain seperti latihan, gaji dan lain. Malah, adakah kos-kos ini juga akan turut naik?,” kata beliau.
Akhmad menambah pihaknya masih belum lagi bertemu dengan pihak agensi pembantu rumah dan akan berbuat demikian setelah melihat langkah ini dijalankan dahulu.
“Kita akan bertemu mereka (agensi pembantu rumah) untuk mengetahui lebih lanjut kadar kos yang berkemungkinan tidak dimasukkan dalam jumlah RM8,000 ini dan kita juga ingin tahu apakah jenis latihan yang dan berkualitikah pembantu rumah yang dipilih nanti kerana kami tidak mahu wujudnya permasalahan pada akhir nanti,” kata Akhmad.
Kadar kos pengambilan pembantu rumah Indonesia sering bertambah dari tahun ke tahun.
Pada 2007, warga Malaysia dikenakan kadar sebanyak RM2,415 sebagai kadar pengambilan pemabtu rumah oleh agensi pembantu rumah.
Namun, kadar tersebut naik sehingga RM4,511 pada tahun 2011 sebelum naik sekali lagi sebanyak RM8,000 pada tahun ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yassin yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di Parlimen telah mengumumkan kadar baru kos pengambilan pembantu rumah Indonesia iaitu sebanyak RM8,000.
Sementara itu, para pengguna Twitter turut melahirkan rasa ketidakpuasan hati berikutan kenaikan kadar baru kos pengambilan pembantu rumah Indonesia.