Kedutaan Filipina sediakan surau
Bernama
April 3, 2017 17:21 MYT
April 3, 2017 17:21 MYT
Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur hari ini mencatat sejarah sebagai negara pertama bukan majoriti Islam menyediakan surau.
Surau yang terletak di tingkat bawah bangunan kedutaan itu adalah kali pertama disediakan sejak Filipina membuka kedutaannya di negara ini pada 1959.
Duta Filipina di Malaysia, J.Eduardo Malaya berkata pembinaan surau itu adalah usaha kedutaan memenuhi keperluan petugasnya, menggalakkan kebersamaan dan persefahaman dalam kalangan penganut agama yang berbeza.
"Kami mempunyai petugas beragama Islam dari Filipina serta Malaysia, dan satu perkara yang saya lakukan sejak lima tahun lalu ialah memenuhi keperluan kakitangan Islam bersolat.
"Pada peringkat awal, kedutaan ini menyediakan sebahagian bilik persidangan sebagai tempat untuk bersolat. Saya meletakkan tanda arah kiblat dan sejadah," katanya kepada Bernama pada majlis perasmian surau itu hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang yang menjadi tetamu kehormat.
Malaya, yang menamatkan tugas lima tahun setengahnya sebagai duta hari ini, berkata beliau ada berbincang dengan komuniti Islam Filipina di Malaysia dan mereka bersetuju mengadakan surau itu.
Katanya, surau itu juga sebagai simbolik kesediaan negara itu menerima pelancong Islam.
Semakin banyak perniagaan dan pejabat Filipina yang mempunyai tempat khusus untuk solat, katanya.
"Terdapat kira-kira lima juta warga Filipina yang beragama Islam, dengan kebanyakannya tinggal di selatan Filipina," katanya.
-- BERNAMA