Kedutaan Algeria akan lancar pusat pelancongan di Malaysia lonjak hubungan kebudayaan

Bernama
Disember 21, 2023 06:15 MYT
Abdelhafid (dua, kanan) ketika mengadakan sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kedutaan Algeria di sini merancang untuk menubuhkan Pusat Pelancongan pada separuh pertama tahun depan dengan matlamat untuk mengukuhkan ikatan budaya dan meningkatkan peluang pelancongan dengan Malaysia.
Duta Algeria ke Malaysia Abdelhafid Bounour berkata pihaknya kini dalam peringkat perancangan awal untuk mengoperasikan pusat itu dengan objektif untuk menunjukkan bahawa hubungan sedia ada antara kedua-dua negara boleh diperkukuh, khususnya dalam bidang pelancongan.
"Matlamatnya antara lain, termasuk menyedarkan rakyat dari kedua-dua negara mengenai keunikan antara satu sama lain menerusi pelbagai program dan inisiatif promosi yang sedang dirancang. Pembukaan rasmi pusat itu dijangka pada tahun depan.
"Dengan pelancaran penerbangan langsung dari Algiers ke Kuala Lumpur oleh Air Algerie pada Jun 2024, saya yakin akan ada peningkatan persefahaman, kesedaran dan hubungan perdagangan juga," kata duta itu kepada wartawan dalam sidang media yang diadakan di kediamannya di sini pada Khamis.
Abdelhafid yang memegang jawatan sebagai duta Algeria ke Malaysia enam bulan lalu berkata dengan rakyat kedua-dua negara menikmati perjalanan tanpa visa, pusat itu bertujuan menjadi platform untuk interaksi antara rakyat.
Duta itu mendedahkan kira-kira 7,000 warga Algeria telah melawat Malaysia pada 2019 manakala kira-kira 14,000 rakyat Malaysia telah mengunjungi negara Afrika Utara itu.
Penubuhan Pusat Pelancongan Algeria dan kepentingan pelbagai aspeknya akan didedahkan semasa lawatan peringkat tinggi tahun depan.
Pada 2021, Algeria merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia di rantau Afrika dengan jumlah perdagangan bernilai RM1.36 bilion.
Algeria menempatkan tujuh tapak Warisan Dunia UNESCO.
-- BERNAMA
#pusat pelancongan #Hubungan dua hala #Malaysia #Algeria
;