Kedudukan Zuraida: Belum ada sebarang perbincangan - PM

Hasimi Muhamad
Jun 1, 2022 19:17 MYT
Pada 26 Mei lalu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengumumkan keluar daripada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan setakat ini tiada sebarang pertemuan atau perbincangan diadakan berhubung kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.
Perdana Menteri berkata, sebaik pertemuan diadakan, kerajaan akan memutuskan status Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.
Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Konvensyen Barisan Nasional ke-48 di sini pada Rabu.
"Jadi dia berhenti daripada Bersatu pun dan dia tak bincang dengan saya, memang dia tak bincang dengan saya lah (sebab) itu soal parti dia.
"Selepas itu dari segi jawatan itu kena bincang dengan saya, kedudukannya dalam Kabinet," ujar Perdana Menteri.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengumumkan keluar daripada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau kenyataan yang sama turut memaklumkan akan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
"Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
"Saya juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri," kata Zuraida.
Sementara itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet.
#Barisan Nasional #ismail sabri yaakob #Zuraida Kamaruddin #berita Malaysia
;