Kedudukan wanita di pantai Timur tidak boleh dipandang rendah - INOS
Faida Rahim
Ogos 2, 2023 10:30 MYT
Ogos 2, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kedudukan golongan wanita di pantai timur terutama Terengganu tidak boleh dipandang rendah dalam merealisasikan hala tuju ekonomi di negeri itu.
Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu Prof. Madya Effi Helmy Ariffin memaklumkan ini kerana penglibatan golongan wanita sebagai usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) terutama dalam penjualan lekor di negeri itu dilihat memberi impak cukup besar.
"Uniknya di Terengganu, di sepanjang pantai Terengganu terutama (berdekatan) jiran kami Kelantan, wanita juga memainkan peranan penting untuk menyumbangkan ekonomi terutama pengusaha keropok lekor. Jadi daripada wanita juga nampak (aktiviti dan keterlibatan) untuk tambah ekonomi sekeluarga," ujarnya.
Sehubungan itu, jelas Effi Helmy, apabila bercakap mengenai isu berkaitan alam sekitar di suatu titik tumpu di kawasan pantai, seperti isu mengawal hakisan dan bencana lain yang berkaitan, kesannya bukan hanya dirasai golongan lelaki.
"(Kesannya) juga mewakili (golongan) wanita, (yang dilihat berusaha) untuk meningkatkan ekonomi keluarga," katanya kepada Astro AWANI.
Oleh yang demikian, beliau menyarankan supaya calon atau parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu untuk tidak ketinggalan menumpukan kempen di kawasan pantai.
Kongsi beliau lagi, perubahan iklim dan alam sekitar di Malaysia sering diketepikan dalam kempen politik kerana kesannya tidak dirasai oleh semua orang, kecuali jika kawasan berkenaan dilanda banjir atau ribut.
"Itulah isunya apabila kita buat pada musim tenang, kita hanya melihat pada isu ekonomi, pekerjaan dan isu kawasan setempat itu," katanya.