Kedudukan Ibrahim Ali dalam Perkasa akan diumum

Haider Yutim
Mei 10, 2013 03:42 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) bakal mengadakan sidang media petang ini bagi memaklumkan kedudukan presidennya Datuk Ibrahim Ali dalam pertubuhan tersebut.
Pasca keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu melihat ‘tsunami’ sebahagian besar pengundi-pengundi Cina beralih arah dengan mengundi parti DAP.
Peralihan ini telah memberi impak yang besar kepada keputusan pilihan raya tersebut lantas mematahkan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR).
Peralihan ini juga sedikit sebanyak ‘memaksa’ BN mengkaji keperluan sebenar yang diinginkan oleh kaum Cina di negara ini seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Fahaman yang dipercayai ‘rasis’ juga ditolak oleh pengundi masa sekarang. Ini terbukti dengan kekalahan dua calon Perkasa iaitu Datuk Ibrahim Ali dan juga Datuk Zulkifli Noordin, yang masing-masing telah bertanding di Pasir Mas dan Shah Alam.
Keadaan lanskap politik pasca PRU13 mungkin akan memaksa Perkasa mentranformasikan pertubuhan mereka supaya lebih diterima masyarakat sekarang.
Sidang media petang ini bakal menentukan kedudukan Ibrahim dalam Perkasa mungkin juga bermaksud beliau akan berundur dari pertubuhan tersebut memandang sudah tidak diterima oleh rakyat.
Selain itu, sidang media tersebut juga dikatakan bakal menyentuh isu-isu semasa yang berkait dengan pasca Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Apakah Perkasa akan menyesuaikan pertubuhan mereka supaya lebih diterima masyarakat umum, atau mereka akan tetap dengan pendirian untuk hanya tumpu kepada ‘keperkasaan’ orang-orang Melayu?
Kedua-dua pemimpin tertinggi pertubuhan pernah dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Zulkifli semasa dalam Pas juga telah mengkritik masyarakat kaum India dan mengeluarkan penyataan yang mengguris hati masyarakat tersebut. Beliau bagaimanapun, kemudiannya telah meminta maaf pada masyarakat India selepas itu.
Pada PRU13 juga, Ibrahim tetap bertanding meskipun tidak disenarai oleh BN. Namun telah tewas kepada anak Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Abduh.
Nik Abdul memperoleh 33,431 undi berbanding Ibrahim yang merupakan penyandang kerusi tersebut, yang memperolehi 25,384 undi.
Zulkifli pula yang bertanding atas tiket BN pula telah tewas kepada Khalid Samad dari Pas dengan yang memperolehi 48,835 undi berbanding Zulkifli yang memperolehi 38,084 undi.
#Ibrahim Ali #pilihan raya umum #PRU #Zulkifli Nordin