Kediaman Najib terus dikawal ketat polis, jadi tumpuan media

Bernama
Mei 13, 2018 14:40 MYT
Kelihatan pengamal media tempatan dan luar negara berkumpul di laluan keluar masuk di kediaman peribadi Najib di Taman Duta, hari ini. - BERNAMA
Laluan keluar masuk ke kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta di sini terus menjadi tumpuan pengamal media tempatan dan luar negara sehingga hari ini.
Kira-kira 20 pengamal media yang terdiri daripada wartawan dan jurukamera 'berkampung' berhampiran kawasan kawalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menunggu sebarang kemungkinan susulan pelbagai dakwaan dan laporan terhadap bekas perdana menteri itu.
Kumpulan media tidak dibenarkan memasuki kawasan simpang masuk ke kediaman Najib dengan jarak kira-kira 100 meter yang dikawal pasukan polis dengan penempatan balai polis bergerak.
Jumlah pihak media semakin berkurangan pada lewat petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy, ketika dihubungi Bernama, berkata pihak polis sentiasa mengawal keselamatan di kawasan itu sebagai langkah pencegahan jenayah serta bagi menjamin keselamatan penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau telah menghalang Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor daripada meninggalkan negara dan telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen untuk ke luar negara. -- Bernama
#Najib Razak #polis #rumah najib razak