Kediaman Najib Razak masih dikawal ketat

Bernama
Mei 15, 2018 19:42 MYT
Anggota Polis dari Ibu Pejabat Polis Sentul membuat kawalan keselamatan di laluan keluar masuk di kediaman peribadi Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta. - FotoBERNAMA
Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini masih menerima kunjungan beberapa individu sejak awal pagi ini.
Hampir 50 kenderaan dilihat memasuki perkarangan kediaman bekas perdana menteri itu untuk tempoh masa yang berasingan.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan kediaman bekas perdana menteri itu juga masih dikawal ketat oleh empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai polis bergerak yang ditempatkan di situ.
Beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul difahamkan ditugaskan untuk menjaga keselamatan di samping mengawal kawasan tersebut sejak Sabtu lepas.
Selain itu, beberapa petugas media dari dalam dan luar negara masih lagi berkampung di kawasan tersebut demi menanti sebarang perkembangan terkini berkaitan bekas perdana menteri itu.
#bekas perdana menteri #dikawal polis #IPD Sentul #Jalan Langgak Duta #kediaman #Najib Razak #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Taman Duta
;