Kediaman Keng Yaik terus dikunjungi kenalan
Bernama
Disember 25, 2012 09:50 MYT
Disember 25, 2012 09:50 MYT
Kediaman bekas presiden parti Gerakan, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik malam ini terus dikunjungi kenalan, rakan serta sanak saudara untuk memberi penghormatan terakhir.
Salah seorang anak saudara mendiang, Datuk Lim Si Boon memberitahu Bernama, kehilangan Lim semakin dirasai seluruh anggota keluarga kerana mendiang seorang yang sering menceriakan suasana dengan telatahnya yang kelakar dan mudah tersenyum.
"Seluruh anggota keluarga sedang berusaha untuk menerima (hakikat) ketiadaan mendiang. "Perwatakan beliau itu menyebabkan semua sanak saudara sangat menyenangi beliau," katanya ketika ditemui di kediaman mendiang di Tropicana Golf and Country Resort di sini.
Lim, meninggal dunia pada jam 5.13 petang Sabtu, pada usia 73 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual memberi penghormatan terakhir kepada mendiang esok.