Kediaman Exco Perak dipecah masuk

Aida Aziz
Disember 4, 2019 16:51 MYT
Kediaman Choo Kiong dipecah masuk oleh pencuri dengan memanjat dinding setinggi enam kaki dan memotong dua jeriji besi tingkap.
Kediaman Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang sedang menghadapi perbicaraan kes merogol pembantu rumahnya dipecah masuk di Meru Raya Desa Park, Bandar Meru Raya di sini.
Choo Kiong dalam kenyataan media pada Rabu berkata, rumahnya dipecah masuk oleh pencuri dengan memanjat dinding setinggi enam kaki dan memotong dua jeriji besi tingkap.
Katanya lagi, individu yang memecah masuk itu mencuri dua peti keselamatan dan disyaki membawa beberapa dokumen penting menggunakan bakul baju yang ada di dalam rumah.
"Saya meninggalkan rumah di Meru ke Kuala Lumpur pada 22 November sehingga 1 Disember, semasa sampai di rumah dengan dua orang anak dan mendapati rumah telah dipecah masuk.
"Dua peti keselamatan yang berada di bilik utama dan satu lagi berada di ruang tamu telah dicuri, dimensi lebih kurang dua kaki paniang, sekaki lebar, dan dua kaki tinggi. Peti keselamatan tersebut berisi dokumen penting dan barangan berharga.
"Walaupun terdapat banyak kabinet dan almari, tetapi pencuri seolah-olah mengetahui saya menyimpan dokumen penting dan wang tunai di almari tertinggi yang berkunci dan berkemungkinan ianya dilakukan oleh kenalan atau sesiapa yang mengetahui persekitaran rumah tersebut," katanya.
Kediaman Choo Kiong merupakan taman perumahan yang berpagar dan berpengawal selain mempunyai rondaan oleh pengawal keselamatan setiap jam.
Beliau sudah mendiami rumah berkenaan selama enam tahun setengah.
Menurut Choo Kiong, pintu dan almari bilik belajar di ruang tamu dan empat bilik di tingkat dua telah dibuka serta digeledah.
Bagaimanapun, bilik bekas pembantu rumah yang dibuka tetapi tidak digeledah.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, ADUN Tronoh itu hanya menyedari kejadian berlaku pada Ahad lalu setelah mendapati pintu belakang rumahnya dalam keadaan terbuka dengan grill tingkap juga telah dipotong.
Anuar berkata, rumah ADUN tersebut dan jiran di belakang rumahnya tidak mempunyai rakaman litar tertutup (CCTV) selain beberapa rumah lain di barisan sama juga tidak berpenghuni.
"Pemeriksaan Unit Forensik di lokasi kejadian berjaya menimbulkan empat kesan cap jari. Siasatan lanjut kes ini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
#Ipoh #kediaman Exco Perak dipecah masuk #Meru #Paul Yong Choo Kiong #Perak
;