Kedaulatan Digital: Astro gesa kerajaan semak undang-undang kukuh kuasa penguatkuasaan

Astro Awani
Mac 28, 2024 17:45 MYT
Astro Malaysia Holding Berhad mencadangkan pelaksanaan dynamic IP blocking di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk membuat semakan undang-undang bagi mengukuhkan kuasa penguatkuasaan dalam membantu agensi berkaitan bertindak dengan lebih pantas demi kedaulatan digital Malaysia.
Astro Malaysia Holding Berhad memberitahu, ia termasuk pelaksanaan dynamic IP blocking yang digunakan secara meluas di Itali, Filipina, Greece dan United Kingdom, serta terbukti keberkesanannya.
"Astro juga mencadangkan perlunya akta keselamatan dalam talian dilaksanakan secepat mungkin bagi menyediakan benteng yang kukuh kepada orang ramai dan menangkis gelombang peningkatan jenayah siber termasuk cetak rompak digital," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Astro memberitahu, undang-undang tersebut perlu menekankan kepentingan terhadap perlindungan harta intelek serta pengukuhan ekosistem dalam talian.
Menurutnya, pengunaan internet yang secara meluas menjadikan platform itu dipenuhi kelompongan yang memberikan ruang kepada 'lanun digital' bersembunyi dan berasakan mereka kebal daripada peruntukan undang-undang.
"Kita perlu mengambil contoh negara-negara luar, misalnya sebuah stesen televisyen di Kanada iaitu Beast TV diarah membayar AS$1.7 juta (RM8 juta) kepada sebuah syarikat hiburan kerana mencuri kandungan dan memperolehi keuntungan daripada hasil rompakan itu.
Berhubung perkembangan itu, Astro menyatakan komitmen untuk terus berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan para penggubal undang-undang dalam menangani isu penstriman haram dan cetak rompak digital.
#Polis Diraja Malaysia #IP blocking #jenayah siber #penstriman haram
;