Kedaifan empat beranak pernah tinggal di kandang lembu
Adie Sufian Zulkefli
Disember 21, 2017 12:50 MYT
Disember 21, 2017 12:50 MYT
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Demikian merupakan peribahasa yang boleh digambarkan kepada nasib sebuah keluarga di Changlun, Kedah yang bukan hanya hidup serba kedaifan tetapi turut tinggal merempat.
Bagi pasangan suami isteri, Kharuddin Ali, 44 tahun dan Nor Fasilah Shaari, 26 tahun, perjalanan kehidupan mereka penuh hitam putih selain diduga dengan pelbagai cabaran.
Pasangan suami isteri yang mempunyai dua anak kecil itu apabila mereka pernah menjadikan kandang lembu sebagai tempat berteduh selama setahun.
Meskipun berat dugaan yang dipikul, pasangan itu tidak pernah putus asa sebaliknya tabah melaksanakan tanggungjawab membesarkan dua anak yang masih kecil.
Astro AWANI yang bertemu pasangan itu di rumah sewa mereka nyata terkejut dan terbit perasaan memilukan apabila ‘rumah sewa’ dengan bayaran RM150 sebulan itu tidak berdinding selain di setiap bucu lantainya sudah reput.
Malah bilik mandi juga dalam keadaan tidak sempurna serta tidak pula boleh digunakan kerana tersebut dan tiada tandas.
Menurut Nor Fasilah, mereka sekeluarga kini putus bekalan makanan sejak seminggu lalu hingga memaksa dia dan suami menggunakan susu pekat tin untuk diberikan kepada anaknya Nur Umairah, 12 bulan.
"Apabila kehabisan bekalan susu, hanya air kosong yang mengisi perut anak kecil ini.
"Anak sulung kami, Muhammad Raiqal Nazmi, 3 tahun kini berada di rumah neneknya kerana keputusan bekalan makanan ini.
"Nur Umairah, juga telah empat kali jatuh ketika merangkak akibat lantai rumah sewa itu yang reput," katanya ketika ditemui Astro AWANI di rumah sewa mereka di sini hari ini.
Nor Fasilah turut memberitahu pernah dihalau oleh tuan rumah terdahulu selepas berpantang selain kecewa kerana tiada orang yang tampil menghulurkan bantuan.
Katanya, tiada daya dia untuk bekerja membantu suami kerana disahkan pakar perubatan di Hospital Jitra bahawa buah pinggang sebelah kirinya rosak sejak setahun lalu.
"Suami saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kolej matrikulasi berhampiran selain kami tidak mendapat sebarang bentuk bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun pusat zakat," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, beliau akan membantu keluarga itu keluar dari kepompong kemiskinan.
"Setakat ni saya tak boleh hendak baik rumah ini kerana ini rumah sewa… Yang bertanggungjawab adalah pemilik rumah tapi saya akan cuba mendapatkan rumah yang lebih sempurna, selesa untuk keluarga mereka daripada skim perumahan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.