Kedai 'warga Acheh' sudah diroboh, ramai peniaga tidak lagi berniaga di tepi jalan
Astro Awani
Ogos 10, 2020 17:45 MYT
Ogos 10, 2020 17:45 MYT
Tiada lagi kelibat peniaga warga asing berniaga di tepi jalan malah kedai menjual buah dan rokok seludup didakwa milik peniaga asing juga sudah dirobohkan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati khemah-khemah peniaga yang diletakkan di atas tapak parkir seperti didedahkan dalam video ‘Asri Janggut’ baru-baru ini juga sudah tidak kelihatan.
Berdasarkan maklumat daripada penduduk tempatan, pihak berkuasa melakukan operasi di kawasan itu pada Ahad dan difahamkan kedai menjual buah milik warga asing yang tular itu turut dirobohkan pada hari sama.
Menurut mereka, kawasan berhampiran yang biasanya dipenuhi peniaga kini juga lengang kerana peniaga bimbang barangan mereka turut disita dan dirampas dalam operasi pihak berkuasa.
Tinjauan Astro AWANI ke lokasi lain juga mendapati beberapa gerai yang difahamkan selalunya menjual rokok seludup juga tidak beroperasi pada hari tersebut.
Menurut seorang peniaga berhampiran, semua peniaga itu tidak lagi berniaga selepas kes tersebut tular dalam media sosial selain pihak berkuasa kerap menyerbu kawasan itu dalam beberapa hari ini.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati kedai mesin judi yang ditularkan dalam video sama juga tidak beroperasi, pintu ditutup rapat dan tiada langsung motosikal berada di luar premis tersebut.
Begitupun, penduduk setempat mengakui bahawa ada kedai mesin judi di kawasan itu malah mereka memberitahu ia sudah lama bertapak di kawasan itu dan dilakukan secara tersembunyi.
Meskipun sudah berulang kali diserbu namun ia kembali beroperasi beberapa minggu atau beberapa bulan selepas diserbu.
Terdahulu, tular dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.
Perkara itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memaklumkan pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar menerusi sidang akhbar semalam memaklumkan, pihaknya telah melakukan enam serbuan di lokasi berasingan di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.
Pada sidang media sama pihaknya memaklumkan polis akan akan memanggil individu dikenali sebagai Asri Janggut yang disyaki menularkan video berkenaan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba lindungi premis perjudian haram di sekitar kawasan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya pada Isnin.
#Acheh
#Asri Janggut
#Astro
#Astro Awani
#Facebook
#haram
#Ketua Polis Negara
#Media
#media sosial
#peniaga
#polis
#siasatan
#SPRM
#Sungai Buloh
#video
#warga asing