Kedai popia terkenal di Melaka diarah tutup 14 hari kerana kotor

Bernama
Oktober 12, 2024 08:30 MYT
Ngwe ketika menyertai Operasi Bersepadu Aduan Mengenai Kedai Makan Kotor bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan KPDN Melaka semalam. - Foto Ngwe Hee Sem
MELAKA: Sebuah kedai menjual popia terkenal di Jalan Munshi Abdullah di sini antara tiga premis makanan yang diarah tutup 14 hari bermula semalam kerana didapati kotor termasuk terdapat najis tikus.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata ketiga-tiga premis itu diarah tutup serta-merta di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dalam Operasi Sarap yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan negeri di sekitar di daearah Melaka Tengah semalam.
"Bagi premis menjual popia itu, Jabatan Kesihatan negeri telah mengeluarkan sebanyak lima notis dengan tawaran kompaun sebanyak RM1,600 kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 antaranya Peraturan 33 iaitu kebersihan diri pengendali makanan dan Seksyen 11 iaitu kewajipan am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan.
"Notis kompaun berkenaan dikeluarkan kerana terdapat urungan najis tikus, bahan mentah diletakkan bersebelahan tong sampah tidak bertutup, tempat membungkus popia berselerak dengan bahan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan, semua pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) semasa proses makanan dan pekerja memakai perhiasan diri semasa mengendalikan makanan," katanya kepada pemberita di sini lewat malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sekitar Bukit Baru yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Noor Aizam Mohd Said.
Ngwe berkata dua lagi premis yang ditutup ialah kedai menjual sarapan pagi di Ayer Leleh dan Durian Daun.
Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak 24 premis makanan diperiksa dalam Operasi Sarap dan 56 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan kompaun sebanyak RM16,200.
"Sehubungan itu, saya menasihati pengusaha kedai makanan tidak kira yang meniaga di warung atau restoran perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan dan kesihatan diutamakan kerana Melaka merupakan negeri pelancongan dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Kita tidak mahu berlaku insiden keracunan makanan melibatkan sama ada rakyat tempatan atau pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan pemantauan secara berkala akan dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan negeri," katanya.
Kedai popia terkenal di Melaka diarah tutup 14 hari kerana kotor
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 1,638 premis di seluruh negeri itu antaranya kedai makan, premis perniagaan, kedai runcit, premis kerajaan, kedai vape, kedai dobi dan stesen minyak diperiksa di bawah pelaksanaan Akta 852 dalam tempoh 11 hari akta itu dikuatkuasakan bermula 1 Okt lepas.
Bagaimanapun, katanya dalam tempoh itu tiada kesalahan yang dikesan atau tindakan dikenakan dalam 42 operasi yang dijalankan sebaliknya anggota penguatkuasa hanya memberikan amaran berbentuk literasi terhadap pemilik.
"Namun tindakan penguatkuasaan dilakukan melibatkan enam kesalahan di bawah Seksyen 16 (2) iaitu merokok di kawasan larangan merokok iaitu di tempat makan dan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(1) iaitu merokok bagi orang belum dewasa," katanya.
-- BERNAMA
#kedai popia #najis tikus #Ngwe Hee Sem #kedai makan kotor
;