Sebuah kilang perabot berusia lebih 30 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Salak Selatan, di sini malam tadi.

Menurut Penolong Penguasa Bomba Kuala Lumpur, Mohammad Nuain Izzuddin Mohammad Nahafiah, kejadian dilaporkan berlaku kira - kira jam 10.29 malam tadi.

Lima jentera bersama 36 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Hang Tuah dan Bandar Tun Razak terlibat dalam operasi memadam kebakaran.


Menurut beliau, api marak dengan cepat, kerana bangunan kilang berkenaan diperbuat daripada kayu.

Anggota bomba mengambil masa hampir 2 jam untuk memadamkan kebakaran dengan asap tebal boleh dilihat dari jarak satu kilometer.

“Kesukaran yang kita hadapi ini adalah jalan yang sempit menyebabkan jentera kita hanya satu sahaja kita boleh guna dan kita buat satu aliran dan pecahkan kepada pelbagai aliran untuk buat pemadaman ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambahnya lagi, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat.