Kedai mamak tidak perlu beroperasi dengan sijil halal - PRESMA

Isabelle Leong
September 20, 2019 22:03 MYT
PRESMA sudah berulang kali berbincang dengan Jabatan Agama Islam dan sudah diputuskan bahawa tiada keperluan untuk pemohonan sijil halal oleh pemilik premis mamak.
Kedai mamak di seluruh negara ini tidak perlu beroperasi dengan sijil halal Malaysia, tegas Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan Muhamad Yakub.
Ayoob Khan berkata pemilik kedai mamak pastinya orang Islam dan tentunya penyediaan makanan di premis makanan tersebut mengikut syarak.
Katanya, PRESMA sudah berulang kali berbincang dengan Jabatan Agama Islam dan sudah diputuskan bahawa tiada keperluan untuk pemohonan sijil halal oleh pemilik premis mamak.
“Orang Islam tidak perlu membuat pemohonan sijil halal. Orang Mamak tidak mungkin perlu beroperasi dengan sijil halal.
“Kami sudah banyak kali berbincang dengan Jabatan Agama Islam tetapi mungkin jabatan di Pahang mempunyai sedikit kelainan.
“Tetapi pengusaha kedai mamak sudah lama berniaga di Pahang dan tiada keperluan untuk memohon sijil halal,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata pemilikan sijil halal di kedai mamak adalah penting untuk memastikan kualiti penyediaan makanan dan kandungan dalam makanan yang digunakan adalah selamat, bersih dan berlandaskan syarak.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak mengenakan syarat ketat kepada pengusaha kedai makan untuk mendapatkan sijil halal kerana aspek utama yang diberi tumpuan adalah kebersihan, sumber bahan mentah halal dan pekerja yang sihat serta bersih.
#Ayoob Khan Muhamad Yakub #JAIP #mamak #Mohd Ghazali Abdul Aziz #orang islam #Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia #Presma #sijil halal #Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang
;